Home Luar Negara SEKURANG-KURANGNYA 64 MAUT DALAM SERBUAN DADAH DI RIO

SEKURANG-KURANGNYA 64 MAUT DALAM SERBUAN DADAH DI RIO

177
0

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya 64 maut selepas polis melakukan operasi besar-besar terhadap pengedar dadah di kawasan setinggan di Rio de Janeiro semalam.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, seramai 2,500 anggota polis lengkap bersenjata, kenderaan perisai, helikopter dan dron, terbabit dalam operasi membanteras kumpulan pengedaran dadah terbesar Brazil di dua kawasan setinggan miskin (favelas) di utara Rio.

Bunyi tembakan kedengaran berhampiran lapangan terbang antarabangsa Rio, manakala kepulan asap tebal kelihatan dari beberapa lokasi kebakaran pada waktu petang, beberapa jam selepas operasi dimulakan.

Penduduk panik berlari mencari perlindungan, manakala premis perniagaan terpaksa menutup operasi berikutan dakwaan polis bahawa kumpulan penjenayah menggunakan dron untuk melawan.

Gabenor Negeri Rio, Claudio Castro, menyifatkan operasi di kawasan setinggan Complexo da Penha dan Complexo do Alemao itu sebagai yang terbesar pernah dilaksanakan dalam sejarah negeri berkenaan.

Kerajaan pusat pula memaklumkan serbuan itu bertujuan menghalang kumpulan jenayah dikenali sebagai Comando Vermelho (Perintah Merah) daripada terus mengembangkan pengaruhnya.

Castro berkata, seramai 60 anggota pengedar dadah disyaki terbunuh dalam operasi itu, manakala sumber pentadbirannya memaklumkan kepada AFP bahawa empat anggota polis turut terkorban.

Sehingga lewat petang semalam, operasi berkenaan masih diteruskan.

Berdasarkan pemerhatian wartawan AFP, anggota polis di kawasan Vila Cruzeir di daerah Penha, mengawal kira-kira 20 golongan muda yang duduk berkelompok di tepi jalan dalam keadaan tidak berkasut, tidak berbaju dan menundukkan kepala.

Menurut penduduk Penha yang enggan dikenali berkata, insiden berkenaan adalah pertama kali mereka melihat dron digunakan oleh penjenayah untuk menjatuhkan bom di kawasan komuniti mereka.

“Semua orang ketakutan kerana banyak tembakan dilakukan,” katanya.

Serbuan di kawasan setinggan Rio sering dilakukan, namun insiden kali ini adalah yang paling buruk setakat ini.

Sebelum ini, serbuan pada tahun 2021 mencatat angka korban tertinggi iaitu 28 orang. AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here