Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
ROMPIN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas Orang Asli yang hilang ketika keluar memancing di kawasan hutan paya Kampung Lesong, Kedaik, dekat sini kelmarin diteruskan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superitenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa, Kuang Poh, 73, dilaporkan keluar memancing kira-kira 3 petang Selasa lalu di kawasan hutan paya Kampung Lesong, namun tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, saudara mangsa kemudian membuat laporan polis pada 5.39 petang Rabu selepas warga emas berkenaan tidak pulang, selepas usaha mengesan wanita berkenaan gagal.
“Operasi mencari dan menyelamat membabitkan lebih 30 anggota agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dibantu penduduk kampung yang berpusat di Pos Kawalan Polis (PKP) Kampung Lesong.
“Pasukan pencarian digerakkan ke kawasan hutan Zon Dua dibantu dua anjing pengesan Unit K9 PDRM. Sehingga semalam usaha mengesan wanita Orang Asli berkenaan masih belum berhasil,” katanya, di sini semalam.
Beliau menambah, Unit K9 bersama tiga anggota turut mencari mangsa sekitar jalan balak menghala ke Sungai Rompin dengan radius pencarian kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa.
“Operasi mencari dan menyelamat bermula 8 pagi dan berakhir 6 petang bagi menjamin keselamatan anggota daripada daripada kejadian tidak diingini,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan Kuang Poh diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohammad Nazir Hanapi di talian 017-9883784, atau mana-mana balai polis berhampiran.
IMedikel TV






