ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, pagi bagi memohon perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Kenderaan rasmi membawa Muhammad Sanusi dilihat memasuki perkarangan Wisma Darul Aman pada jam 10.22 pagi.
Sultan Sallehuddin bersama rombongan kemudian dilihat memasuki Wisma Darul Aman menaiki kenderaan rasmi baginda pada jam 10.26 pagi.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, dijangka mengadakan sidang media bagi memaklumkan pembubaran DUN Kedah pada tengah hari ini.
Mandat DUN Kedah dijadual tamat tempoh pada 4 Julai depan dengan Muhammad Sanusi dijangka membubarkannya pada 28 Jun ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam tempoh 90 hari.
Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan PN menguasai 20 kerusi (PAS-14, BERSATU-enam) diikuti Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 10 kerusi (PKR-lima, AMANAH-tiga, DAP-dua), manakala Barisan Nasional (BN) dan PEJUANG masing-masing dua kerusi.
Sumber: BH Online
Imedikel TV






