Home Sukan SALAH UCAP ‘SELAMAT TINGGAL’? KRISIS DENGAN SLOT MELETUP DI LEEDS

SALAH UCAP ‘SELAMAT TINGGAL’? KRISIS DENGAN SLOT MELETUP DI LEEDS

LEEDS: Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, ketika Arne Slot masih terhuyung-hayang selepas aksi longlai Liverpool di Leeds, Mohamed Salah pula ‘meletup’ dengan mensasarkan jurulatihnya serta barisan pengurusan dalam luahan selepas perlawanan, satu episod yang berpotensi menutup tirai karier legenda itu di Anfield.

Juara Liga Perdana Inggeris itu kini berdepan krisis selepas hanya empat kemenangan dalam 15 perlawanan semua kejohanan dan keadaan bertambah parah apabila hubungan dengan salah seorang ikon terbesar kelab seperti bakal berakhir dengan cara yang tidak manis.

Hanya dua pemain, Ian Rush dan Roger Hunt, menjaringkan lebih banyak gol berbanding Salah yang mengumpul 250 jaringan untuk kelab yang sudah 20 kali menjuarai liga utama England itu.

Bintang Mesir itu menjadi tunjang dalam dua kejuaraan berkenaan, terutama musim lalu ketika dia menyapu bersih anugerah individu selepas musim gemilang sewaktu Slot memenangi liga pada tahun debutnya.

Namun kini Salah mendakwa hubungannya dengan jurulatih dari Belanda itu sudah retak selepas dia diletakkan di bangku simpanan dalam tiga perlawanan berturut-turut.

“Saya rasa kelab seolah-olah mengorbankan saya. Itu apa yang saya rasa. Jelas sekali ada seseorang yang mahu saya dipersalahkan,” kata Salah.

Walaupun prestasi pemain berusia 33 tahun itu merosot dan menjadi faktor utama kemerosotan Liverpool musim ini, Slot sebelum ini tetap setia menggunakan dia sehinggalah minggu lalu.

Salah hanya menjaringkan lima gol dalam 19 penampilan dan sering dikritik kerana tidak bekerja keras ketika bertahan.

Liverpool dan Salah sememangnya bakal berpisah sementara apabila dia berangkat menyertai skuad kebangsaan Mesir bagi kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas perlawanan menentang Inter Milan dan Brighton minggu ini.

Namun Salah memberi bayangan aksi menentang Brighton mungkin menjadi yang terakhir di Anfield.

“Saya nak nikmati perlawanan itu sebab saya tak tahu apa akan berlaku. Saya akan berada di Anfield untuk ucap selamat tinggal kepada peminat sebelum ke AFCON. Saya tak tahu apa jadi selepas itu,” ujarnya.

Konflik terbuka dengan legenda yang sangat disayangi penyokong adalah perkara terakhir yang Slot perlukan ketika kedudukannya semakin tertekan walaupun baru beberapa bulan menjulang trofi liga.

Kegagalan mengekalkan kelebihan 2-0 dan 3-2 di Elland Road menyebabkan Liverpool hanya menang dua daripada 10 aksi liga terakhir, jatuh ke tangga kelapan dan hampir pasti gagal mempertahankan kejuaraan sebelum Krismas. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here