Home Luar Negara ANCAMAN KEBULURAN KETIKA KORBAN BANJIR DI INDONESIA MENINGKAT LEBIH 900

ANCAMAN KEBULURAN KETIKA KORBAN BANJIR DI INDONESIA MENINGKAT LEBIH 900

ACEH, TAMIANG: Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian penduduk di wilayah Aceh Tamiang di Indonesia memanjat kayu balak yang licin dan berjalan selama kira-kira sejam pada Sabtu untuk mendapatkan bantuan ketika jumlah kematian akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda Pulau Sumatra bulan ini meningkat lebih 900 orang.

Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh akibat taufan di tiga wilayah Indonesia di Sumatera, termasuk Aceh meningkat kepada 908 orang dengan 410 disenarai sebagai hilang, menurut data kerajaan.

Kejadian ribut itu turut mengorbankan kira-kira 200 orang di selatan Thailand dan Malaysia.

Agensi cuaca kebangsaan Indonesia berkata, hujan mungkin akan kembali ke wilayah Aceh dan Sumatra Utara, di mana banjir merosakkan jalan raya, menenggelamkan rumah-rumah dalam lumpur dan memutuskan bekalan.

Gabenor Aceh, Muzakir Manaf, berkata pasukan keselamatan masih mencari mayat dalam lumpur.

Walau bagaimanapun, kebuluran adalah salah satu ancaman paling teruk yang kini berlaku di kampung terpencil dan tidak boleh diakses.

“Ramai orang memerlukan keperluan asas. Banyak kawasan masih tidak ‘disentuh’ di kawasan terpencil di Aceh.

“Orang ramai bukan mati akibat banjir, tetapi kerana kebuluran. Begitulah keadaannya.

“Seluruh kampung juga dihanyutkan di wilayah Aceh Tamiang yang diselubungi hutan hujan.

“Wilayah Aceh Tamiang musnah sama sekali, dari atas hingga ke bawah. Turun ke jalan raya dan turun ke laut. Banyak kampung dan mukim kini hanya tinggal nama,” kata Muzakir kepada pemberita.

Kerajaan Indonesia sedang menyiasat sejumlah syarikat yang disyaki melakukan penebangan hutan di kawasan sekitar lokasi banjir di Sumatera, sekali gus mengaku kelemahan pengurusan hutan memburukkan lagi bencana alam itu.

Menurut data kerajaan, angka korban akibat banjir serta tanah runtuh susulan badai siklon, direkodkan meningkat kepada lebih 900 mangsa dengan ratusan lagi dilaporkan masih hilang di Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.

Insiden tanah runtuh turut menyebabkan bekalan elektrik terputus serta laluan terhalang sehingga menjejaskan usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang giat dijalankan.

Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni dalam ucapan di Parlimen, berkata kerajaan akan mengkaji semula aspek tadbir urus hutan, mempertimbangkan moratorium permit baharu, dan menarik balik lesen syarikat yang melanggar peraturan. Beliau bagaimanapun tidak menamakan syarikat secara khusus.

Menteri Tenaga, Bahlil Lahadalia, turut memberi isyarat bahawa permit perlombongan boleh dibatalkan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan ditetapkan.

Kumpulan aktivis alam sekitar mendakwa penebangan hutan yang dikaitkan dengan kegiatan perlombongan serta pembalakan, telah menyumbang kepada kemusnahan lebih besar. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here