Home Hiburan ANGKAT KISAH PELARIAN KEJAR IMPIAN

ANGKAT KISAH PELARIAN KEJAR IMPIAN

Memetik laporan menerusi Harian Metro, filem dokumentari berjudul Dignified: The Faisal Cup Story mengangkat kisah perjuangan dan impian anak pelarian untuk menjejak kaki ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur sesuatu yang selama ini dianggap mustahil bagi mereka.

Naskhah terbitan Signal Flare Productions yang berdurasi dua jam itu merakam perjalanan satu tahun sekumpulan remaja pelarian dan kurang berkemampuan yang gigih berlatih demi peluang yang hanya hadir sekali seumur hidup.

Lebih menyentuh hati, dokumentari ini turut menyingkap sisi sebenar kehidupan mereka mengenai identiti, penerimaan dan maruah yang sering dinafikan.

Kisah digerakkan melalui tiga watak utama, guru dan jurulatih tempatan, Jeremy Chin serta dua remaja pelarian, Kurban Ali daripada komuniti Rohingya manakala Ezra Van Lian Ceu dari komuniti Chin, Myanmar.

Persahabatan, pengorbanan dan ketabahan mereka dirakam dalam visual yang jujur dan penuh emosi.

Menariknya, dokumentari ini adalah naskhah sulung arahan Hazel Desmond.

Berbekalkan pengalaman lebih 15 tahun sebagai wartawan, Hazel mengetengahkan gaya penceritaan yang realistik dan tidak dibuat-buat.

Sentuhan kreatifnya diperkukuhkan dengan usaha bersama Penerbit Eksekutif, Steve Chao, pengkarya yang dua kali dicalonkan Anugerah Emmy.

Pengasas Dignity for Children, Rev Elisha Satvinder berkata, kejohanan Faisal Cup ini diambil daripada peristiwa sedih yang membabitkan seorang kanak-kanak pelarian bernama Faisal yang maut apabila ingin mengambil bola terjatuh ke dalam longkang.

Hazel berkata, dokumentari itu bukan sekadar memaparkan kesukaran hidup pelarian, sebaliknya meraikan keberanian mereka yang mempunyai impian besar.

“Kami tidak melihat mereka sebagai mangsa. Ini cerita tentang keberanian untuk membina jati diri melalui sukan,” katanya.

Dignified dilihat sebagai simbol harapan dan maruah selain meraikan rakyat Malaysia yang menjadi ‘wira senyap’ membuka ruang dan peluang kepada golongan terpinggir.

Hazel turut berkongsi, kewujudan organisasi seperti Dignity yang membuka peluang dan menyediakan akses kepada pendidikan dan sukan untuk komuniti pelarian menjadi titik perubahan besar kepada kehidupan kanak-kanak terbabit.

“Apabila saya lihat semua ini, saya rasa kita kena cerita. Kita kena tunjuk apa yang sebenarnya berlaku,” katanya sambil menyifatkan dorongan itulah yang akhirnya membawa kepada penghasilan dokumentari berkenaan.

Hazel berkata, walaupun dokumentari ini sarat dengan aksi bola sepak, ia menekankan kekuatan semangat manusia serta mesej tentang siapa kita dalam memperlakukan satu sama lain dan apa yang mampu terhasil apabila belas kasihan mengatasi ketakutan.

Turut tampil memberi sokongan ialah aktivis kemanusiaan, Deborah Henry serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang melihat projek ini sebagai usaha penting memperkasa komuniti pelarian.

Dignified: The Faisal Cup Story mengingatkan bahawa di sebalik angka itu tersimpan kisah benar, wajah sebenar dan impian yang patut didengari.

Bagaimanapun, Steve Chao berkata, tarikh filem dokumentari ini yang bakal ditayangkan di pawagam akan diumumkan kelak.

Signal Flare Productions yang diterajui Steve Chao terus komited menghasilkan karya bertema kemanusiaan, bekerjasama dengan platform global seperti Netflix, HBO, Amazon, Tencent dan Warner Bros. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here