Home Hiburan SALAH GUNA DADAH: BALQIS TUNTUT HENTI TABUR FITNAH MELULU

SALAH GUNA DADAH: BALQIS TUNTUT HENTI TABUR FITNAH MELULU

336
0

KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Balqis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas netizen apabila menuduh ahli keluarganya terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Balqis atau nama sebenarnya Puteri Balqis Azizi menegaskan keluarganya tidak pernah mengambil atau terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan dadah.

Justeru, katanya, pihaknya menuntut individu yang menabur fitnah supaya mengemukakan bukti kukuh.

“Pasukan kami menerima fitnah ini daripada anda. Setahu saya, keluarga saya tidak pernah mengambil dadah. Semua ahli keluarga kami tidak pernah sekalipun menggunakan dadah.

“Kami semua berada dalam keadaan normal, sama ada ketika bekerja mahupun tidak bekerja,” tulisnya dalam hantaran di Instagram Story.

Menurut pelakon berusia 23 tahun itu, dakwaan berkenaan bukan sahaja menjatuhkan maruah keluarganya, malah menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab pihak yang menabur fitnah tanpa usul periksa.

“Bolehkah anda sertakan bukti yang kukuh? Adakah dengan melihat perangai kami, anda terus menuduh kami semua sebagai penagih?” tulisnya.

Balqis turut menyifatkan tindakan individu terbabit sebagai biadab dan berniat jahat apabila turut mengaitkan ibunya dalam kenyataan berbaur fitnah.

“Apabila hati sakit dan tidak mendapat lelaki yang diingini, anda memilih untuk memfitnah ibu serta keluarga saya pula?

“Jika mahu bertindak tidak bermaruah, jangan hanya berani di media sosial. Jika mahu berperangai sedemikian, jangan babitkan keluarga orang lain,” tulisnya.

Pelakon yang pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2014 itu juga menegur sikap individu berkenaan yang disifatkannya sebagai hipokrit kerana menggunakan imej bertudung untuk menutup kelakuan sebenar.

“Anda memfitnah keluarga kami dengan menggunakan profil bertudung, tetapi apabila bergaul dengan suami orang, semuanya dibuka pula.

“Jangan memalukan penyokong dan sahabat saya yang benar-benar bertudung dan memiliki akhlak baik,” tulisnya.

Mengakhiri kenyataannya, Balqis berharap individu berkenaan berhenti menyebarkan fitnah dan menjaga maruah diri serta keluarga masing-masing.

“Anda juga mempunyai ibu. Adakah ibu anda juga seperti anda? Melihat pada perangai anda pun sudah cukup untuk menilai. Jijik,” tulisnya.

Sebelum itu, Balqis juga memuat naik tangkap layar beberapa gambar dan hantaran dari platform media sosial milik individu yang menabur fitnah terhadap keluarganya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here