Home Buletin Semasa RUU KEBEBASAN MAKLUMAT 2026 DIRUJUK KEPADA JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PARLIMEN

RUU KEBEBASAN MAKLUMAT 2026 DIRUJUK KEPADA JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PARLIMEN

10
0

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI komited untuk melaksanakan reformasi institusi yang bermakna, termasuk melalui penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (Freedom of Information – FOI) 2026 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) bagi membolehkan penelitian yang lebih menyeluruh sebelum ia dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU berkenaan telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi institusi.

“Penggubalan RUU itu adalah langkah penting bagi memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, di samping meningkatkan akses rakyat terhadap maklumat rasmi kerajaan secara teratur serta berlandaskan undang-undang.

“Kerajaan turut mengambil maklum pelbagai pandangan yang dikemukakan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pihak berkepentingan berhubung beberapa aspek RUU berkenaan, yang mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan undang-undang itu memenuhi matlamat reformasi serta menepati amalan terbaik,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usul merujuk RUU Kebebasan Maklumat 2026 kepada JKPK yang akan ditubuhkan di bawah Peraturan Mesyuarat 81(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dijangka dikemukakan pada Selasa, 14 Julai 2026.

“Langkah itu membolehkan setiap fasal dalam RUU diteliti secara lebih menyeluruh menerusi sesi libat urus bersama Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak serta pelbagai pihak berkepentingan,”katanya.

Azalina berkata, pendekatan itu selaras dengan amalan Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi institusi yang besar dan kompleks dengan membentuk kerangka perundangan yang komprehensif, seimbang serta diyakini rakyat.

Beliau menegaskan reformasi yang baik ialah reformasi yang mampu bertahan, memperkukuh kepercayaan awam dan terus berfungsi untuk generasi akan datang demi kesejahteraan rakyat serta negara.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here