Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Reman terhadap 10 individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan di Pasar Awam Melor, di sini, Khamis lalu, disambung selama tiga hari bermula esok hingga Jumaat.
Perintah lanjutan reman itu dibenarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid terhadap 10 tahanan berusia lingkungan 20 hingga 50an.
Lanjutan reman itu membolehkan siasatan dilakukan secara terperinci mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam.
Terdahulu, Mahkamah Majistret, di sini, semalam turut membenarkan dua beradik wanita berusia 28 dan 30 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut disambung reman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan 12 individu bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan di Pasar Awam Melor, di sini, kira-kira jam 2.30 petang, Khamis lalu.
Sebelum itu, tular di media sosial video yang memaparkan beberapa wanita bergaduh di pasar awam tersebut sebelum keadaan menjadi semakin kecoh apabila beberapa individu lain termasuk lelaki dan wanita yang dipercayai ahli keluarga mereka turut campur tangan dalam kejadian itu.
IMedikel TV






