Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Bekas Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sujud syukur di kandang tertuduh selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, daripada pertuduhan rasuah berjumlah RM10,000, pada 2015.
Keputusan itu dibuat Hakim Dazuki Ali, selepas meneliti pembelaan jujur tertuduh, Wan Mohd Zamri Wan Ismail, 64, bahawa wang berkenaan adalah digunakan untuk bantuan mangsa banjir.
Dazuki dalam penghakimannya berkata pihak pembelaan juga berjaya mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas imbangan kebarangkalian.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati bahawa wang tersebut digunakan untuk membantu mangsa banjir besar pada akhir Disember 2014.
“Pembelaan jujur itu bukan direka-reka, oleh itu wang jaminan yang dibayar oleh tertuduh akan dipulangkan semula.
“Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan wang RM10,000 daripada Ng Tze Wei, 47, melalui cek bertarikh 21 Januari 2015 yang dikreditkan ke dalam akaun Maybank miliknya di Maybank Jalan Mahmood, di sini, pada 22 Januari 2015.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan membantu sebuah syarikat subkontraktor untuk menjalankan kerja merekabentuk, membina, menyiapkan, mengujilari, mentauliahkan kerja-kerja mekanikal serta elektrikal untuk skim bekalan air Merbau Chinding fasa II, Machang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Adha’ ‘Amir Yasser Amri.
IMedikel TV






