Home Luar Negara RUSSIA GANDAKAN BILANGAN KAPAL DI LAUT HITAM

RUSSIA GANDAKAN BILANGAN KAPAL DI LAUT HITAM

345
0

Tentera Ukraine semalam memaklumkan Russia menggandakan bilangan kapal aktif yang bertugas di Laut Hitam dan meramalkannya sebagai persediaan untuk melancarkan lebih banyak serangan peluru berpandu.

Tentera laut Russia kerap melancarkan serangan peluru berpandu dari Armada Laut Hitamnya sebagai sebahagian daripada usaha Moscow untuk menjadikan infrastruktur penting dan kemudahan penjanaan kuasa Ukraine sebagai sasaran.

“Di Laut Hitam, armada kapal perang meningkat dua kali ganda pada pagi ini, iaitu lapan buah kapal,” menurut hantaran di laman Facebook oleh pihak tentera.

“Berdasarkan aktiviti penerbangan musuh, ini mungkin menunjukkan bahawa serangan peluru berpandu dan dron sedang dalam persediaan.

“Salah satu kapal itu ialah kapal frigat yang bersenjatakan lapan peluru berpandu Kalibr,” katanya.

Minggu lalu, Ukraine berkata Russia melancarkan empat peluru berpandu Kalibr dari Laut Hitam, dua daripadanya berjaya ditembak jatuh.

Armada Laut Hitam Russia itu berpangkalan di semenanjung Crimea, yang diilhakkan oleh Moscow pada 2014.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, semalam berkata beliau merancang untuk bertemu Presiden China, Xi Jinping, selepas Beijing menggesa untuk mengadakan rundingan damai dengan segera bagi menamatkan perang di Ukraine.

Katanya, beliau sedang melakukan yang terbaik untuk menghalang bekalan senjata China ke Russia bagi mengelakkan sebarang risiko ‘Perang Dunia III’.

“Saya merancang untuk bertemu dengan Xi Jinping, ini adalah penting untuk keselamatan dunia,” katanya.

Zelensky tidak menyatakan bila atau di mana beliau merancang untuk bertemu Jinping tetapi menyatakan harapan bahawa China akan menyokong ‘keamanan yang adil’ dan Ukraine.

“Saya benar-benar mahu percaya bahawa China tidak akan membekalkan senjata kepada Russia. Ia sangat penting bagi saya,” katanya.

Kelmarin, China menggesa rundingan damai diadakan dengan segera dan mengeluarkan rancangan untuk menamatkan perang di Ukraine.

Beberapa kuasa Barat menolak cadangan itu selain memberi amaran mengenai hubungan rapat Beijing dengan Moscow.

Zelensky semalam berkat beliau yakin bahawa hanya negara yang wilayahnya diserang boleh memulakan ‘sebarang inisiatif keamanan’.

Beijing berusaha untuk meletakkan dirinya sebagai parti neutral dalam konflik itu, dengan mengekalkan hubungan rapat bersama sekutu strategik Russia. 

Sumber: BH Online

— Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here