SAKHIR: George Russell mencatat masa kedua terpantas pada sesi ujian pramusim, semalam di belakang rakan sepasukan Kimi Antonelli, namun pelumba Britain itu tetap mengakui Mercedes seakan “undur setapak” di Litar Sakhir.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Russell dan Mercedes sering disebut sebagai calon pencabar kejuaraan musim ini ketika semua pasukan menyesuaikan diri dengan perubahan peraturan baharu yang menyaksikan rombakan besar pada casis dan enjin, selain memberi tumpuan lebih kepada pengurusan tenaga.
Semua pasukan menjalani sesi pemanas badan di Barcelona pada penghujung Januari sebelum kembali ke litar di Bahrain minggu depan menjelang pembuka tirai musim di Melbourne pada 8 Mac.
“Di Barcelona semuanya berjalan lancar dan mungkin lebih baik daripada jangkaan kami dari segi kebolehpercayaan serta prestasi.
“Namun di Bahrain, dalam kedua-dua aspek itu kami seperti undur setapak,” kata Russell pada sidang media selepas muncul terpantas dalam sesi pagi.
Pelumba berusia 27 tahun yang menamatkan saingan di tangga keempat musim lalu kemudian mengalihkan tumpuan kepada Red Bull.
“Saya rasa ujian ini sedikit sebanyak membuka mata kami semua,” katanya.
“Hakikatnya, Red Bull di Barcelona pada hari pertama terus tampil garang dan berada jauh di depan pencabar lain termasuk kami serta Ferrari.
“Hari pertama di Bahrain juga mereka kelihatan setanding. Ketika ini, mereka adalah pasukan yang perlu ditewaskan,” katanya.
Kenyataan Russell hadir sehari selepas juara dunia empat kali, Max Verstappen mengkritik perubahan peraturan baharu yang menurutnya membuatkan jentera terasa seperti “Formula E dengan kuasa berganda.” – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






