Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Sebuah rumah separuh kekal musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi rumah kekal mengalami kerosakan kira-kira 15 peratus dalam kebakaran di Kampung RPT Sungai Terah, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari itu, bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Muhamad Azrul Izzham Zulkifli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum menggerakkan anggota dan aset dari BBP Gua Musang ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.02 petang selepas menempuh perjalanan sejauh lima kilometer (km).
“Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan dua buah rumah berjenis separuh kekal dan kekal dengan keluasan anggaran 30 x 40 kaki persegi.
“Sebuah rumah separuh kekal mengalami kemusnahan 100 peratus, manakala sebuah rumah kekal mengalami kerosakan kira-kira 15 peratus,” katanya ketika dihubungi.
Operasi pemadaman membabitkan sembilan anggota bomba dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah lori tangki air.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
IMedikel TV






