Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki maut dalam keadaan tragis selepas tercampak keluar dari kenderaannya sebelum tersangkut pada dahan pokok kelapa sawit dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kampung Panggong Jaya, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.58 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun yang memandu sebuah Perodua Axia itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Muhamad Azrul Izzham Zulkifli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.58 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Gua Musang dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira jam 11.11 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia dan sebuah lori.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang mangsa lelaki yang memandu Perodua Axia telah tercampak keluar dari kenderaan sebelum tersangkut pada dahan pokok kelapa sawit.
“Pihak bomba dan orang ramai membantu menurunkan mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Operasi tersebut membabitkan sembilan anggota BBP Gua Musang bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dua Unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
Turut sama dalam operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.50 pagi.
IMedikel TV






