Home Buletin Semasa CILI KAMPUNG BUKA CAWANGAN BAHARU DI KOTA BHARU

CILI KAMPUNG BUKA CAWANGAN BAHARU DI KOTA BHARU

18
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU – Restoran Cili Kampung terus mengukuhkan jenamanya dalam industri makanan tempatan apabila membuka cawangan baharu di AEON Mall Kota Bharu, sekali gus memperluas rangkaian perniagaannya di seluruh negara.

Majlis pelancaran restoran itu diserikan dengan keberangkatan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang turut meluangkan masa menyantuni tetamu serta kanak-kanak daripada rumah kebajikan Villa Raudhah.

Pengarah Cili Kampung Malaysia, Anwar Azeez berkata pembukaan cawangan baharu itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkenalkan masakan Melayu autentik kepada lebih ramai pelanggan.

Beliau berkata, Kelantan dipilih kerana negeri itu mempunyai warisan kulinari yang kaya serta masyarakat yang menghargai cita rasa tradisional, sejajar dengan identiti yang dibawa oleh Cili Kampung.

“Pembukaan Cili Kampung Kota Bharu merupakan satu pencapaian penting buat kami dalam usaha memperluaskan lagi rangkaian di seluruh Malaysia.

“Kelantan sememangnya kaya dengan warisan kulinari, menjadikannya lokasi yang amat bermakna untuk kami meraikan cita rasa asli Melayu sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan dan komuniti melalui makanan,” katanya pada majlis pelancaran restoran itu di sini, semalam.

Menurutnya, selain menawarkan hidangan berasaskan resipi tradisional kampung, restoran itu turut menekankan nilai kebersamaan dan hospitaliti yang menjadi teras budaya masyarakat Malaysia.

Anwar berkata, pihaknya juga berbesar hati dapat berkongsi detik istimewa pembukaan cawangan itu bersama kanak-kanak dari Villa Raudhah yang diraikan dalam suasana penuh mesra dan kasih sayang.

Pada majlis berkenaan, para tetamu dihidangkan pelbagai menu istimewa yang diinspirasikan daripada resipi autentik Melayu, sekali gus memperkenalkan keunikan masakan kampung kepada pengunjung.

Pembukaan cawangan baharu itu dilihat mampu merancakkan lagi sektor makanan dan minuman di Kota Bharu selain memperkukuh misi Cili Kampung dalam memartabatkan warisan kulinari Melayu melalui pengalaman santapan yang berteraskan tradisi, komuniti dan nilai kekeluargaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here