Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebakaran yang berlaku di sebuah dewan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, malam tadi, sekali gus mengelakkan kemusnahan yang lebih besar.
Komander Operasi Kanan, TPgB II KUP Alam Nasut Elias memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada jam 10.13 malam tadi berhubung kejadian kebakaran di premis berkenaan.
“Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa bersama beberapa aset digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak di Jalan Maktab, Taman Orkid, Pengkalan Chepa.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.31 malam dan mendapati sebuah dewan berkeluasan kira-kira 20 x 20 kaki persegi sedang terbakar.
“Kebakaran membabitkan kira-kira 10 peratus daripada struktur dewan dan tidak melibatkan sebarang mangsa,”katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata anggota bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan empat aliran hos sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada pam jentera serta pili bomba sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.39 malam.
Seramai 20 anggota daripada BBP Pengkalan Chepa terlibat dalam operasi itu dengan bantuan sebuah ‘light fire rescue tender’ LFRT, sebuah ‘fire rescue tender’ (FRT), Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah lori tangki air.
IMedikel TV






