Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Sebuah rumah jenis kekal musnah kira-kira 90 peratus dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku berhampiran Masjid Kampung Bukit Merbau, di sini, tengah hari tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Fatimatuzaharah Sazali dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada jam 12.48 tengah hari sebelum menggerakkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dan BBP Ketereh ke lokasi kejadian.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 1.07 petang, kira-kira 16 kilometer dari balai, sebelum mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kekal berukuran anggaran 30 kaki x 50 kaki.
“Kebakaran menyebabkan kemusnahan kira-kira 90 peratus struktur rumah namun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.14 petang.
Seramai 15 anggota bomba terbabit dalam operasi itu dengan bantuan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT).
IMedikel TV






