Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memandang serius dakwaan berhubung kemasukan individu yang tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral yang didakwa berlaku di dalam kem tentera, seperti yang tular di media sosial.
MINDEF dalam kenyataan menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
“Sehubungan itu, pihak ATM telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman segera bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.
“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,”menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.
“Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara,” menurut kenyataan.
Terdahulu, tular di beberapa platform media sosial beberapa gambar dan rakaman video mendakwa berlaku perlakuan yang tidak selaras dengan etika perkhidmatan di dalam kem tentera.
IMedikel TV






