Home Buletin Semasa JKN KELANTAN RAMPAS 130KG SERBUK TEH TIRUAN TAHUN LALU

JKN KELANTAN RAMPAS 130KG SERBUK TEH TIRUAN TAHUN LALU

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan merampas sebanyak 130kilogram (kg) serbuh teh yang mengandungi pewarna tiruan bernilai RM3,963 tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Azman Yacob dalam kenyataan berkata, tindakan itu hasil pelbagai operasi khusus yang dijalankan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di seluruh negeri.

“Operasi ini membabitkan pemeriksaan di kedai runcit, pemborong, kedai makan dan restoran. 

“Sebanyak 20 premis diperiksa dan rampasan membabitkan serbuk teh bernilai RM3,963,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu menurut Dr Azman sebanyak dua notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (pengkompaunan kesalahan) 2017 dengan nilai RM1,000. 

“Manakala syarikat pembekal teh telah didakwa di mahkamah yang melibatkan pelanggaran pewarna tiruan di dalam serbuk teh, iaitu dibawah Peraturan 260(3) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pendakwaan melibatkan satu kes dari Kota Bharu dan dua kes dari Machang,”katanya.

Beliau berkata hukuman denda RM5,000 bagi kes di Kota Bharu dan RM1,500 bagi setiap kes di Machang sekaligus keseluruhan denda yang membabitkan pewarna tiruan dalam teh sepanjang tahun lalu adalah RM8,000.

Katanya di bawah Peraturan 260(3), teh tidak boleh mengandungi apa-apa bahan pewarna, sama ada dibenarkan atau tidak.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran sekiranya mengesyaki penjualan teh tiruan atau pelabelan produk yang tidak mematuhi peraturan.

Beliau berkata pihaknya akan terus komited memastikan semua produk makanan di pasaran negeri ini bersih, selamat dan berkualiti serta bebas daripada sebarang penipuan sepanjang rantaian bekalan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here