KUALA LUMPUR: Ikatan persahabatan sekian lama mendorong Datuk Seri Rossa menghadiahkan segmen istimewa buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Konsert Rossa Here I Am di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam tadi.
Memetik laporan menerusi Berita Harian melalui segmen khas kira-kira 10 minit itu, Rossa atau nama sebenar, Sri Rossa Roslaina Handiyani mendedangkan empat lagu popular Siti melalui caranya sendiri.
Rossa membuka segmen penuh bermakna itu dengan lagu Gelora Asmara sebelum diikuti tiga lagu lain, iaitu Percayalah, Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa.
Segmen itu kemudian bertukar gamat dengan sorakan peminat sebaik Siti yang duduk di kerusi penonton, mengambil mikrofon dan menyambung nyanyian Rossa ketika membawakan lagu Percayalah.
Situasi mengejutkan itu boleh dianggap antara momen ‘mahal’ yang terjadi sepanjang tiga jam Konsert Rossa Here I Am dipentaskan.
Usai momen spontan itu, Rossa berjanji akan menghadiri konsert solo Siti, Violet Skies Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars di Genting Highlands, Pahang, bulan depan.
“Julai nanti aku akan hadir ke konsert kamu di Genting okay,” kata Rossa sebaik Siti selesai menyanyikan sebahagian daripada lagu Percayalah.
Sementara itu, Konsert Rossa Here I Am menampilkan beberapa nama besar lain seperti Ariel Noah, Ernie Zakri, MK K-Clique dan The Ladies yang dibarisi alumni Indonesian Idol iaitu Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla.
Selain menampilkan barisan rakan seni terdekat, konsert turut memberi ruang kepada bakat baharu merangkumi empat finalis Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen.
Konsert Rossa Here I Am menyaksikan kolaborasi mantap Rossa bersama barisan penyanyi undangan, pasukan pemuzik, penyanyi latar dan penari hebat, sekali gus menghadiahkan pengalaman berharga buat peminat.
Pada konsert itu, Rossa mendendangkan rangkaian lagu hit pernah dirakamkan seperti Nada Nada Cinta, Pudar, Hey Ladies dan banyak lagi.
Konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi dan pemasaran daripada Sah Entertainment itu juga menjadi ruang untuk Rossa bercerita mengenai perjalanannya sepanjang dua dekad bergelar anak seni. – BH Online –
IMedikel TV






