Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Tiba sudah Ramadan yang kita rindui selama ini. Sudah tentu ramai yang asyik terfikirkan menu atau juadah untuk berbuka nanti. Betul tak?
Namun, ada yang lebih merisaukan apabila terfikirkan mulut berbau ketika sedang berpuasa.
Malah mungkin ada yang malu atau takut untuk berkomunikasi dengan pelanggan dan sebagainya disebabkan risau bau mulut.
Tetapi jangan risau, penulis akan kongsikan tip untuk mengelakkan mulut berbau di bulan Ramadan. Anda mesti hendak tahu apa yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan daripada individu mengelak untuk berkomunikasi dengan kita disebabkan mulut berbau.
Sebenarnya anda tidak perlu khuatir sekiranya mulut berbau ketika sedang berpuasa.
Ini kerana penyebab bau mulut ketika berpuasa adalah keadaan mulut yang kering akibat tidak makan atau minum untuk satu tempoh yang lama.
Mari penulis kongsikan apa yang perlu kita lakukan untuk elak mulut berbau.
Panduan ini diperoleh daripada pelbagai sumber.
1. Jaga kebersihan mulut selepas sahur dan berbuka
Perkara paling penting, pastikan anda jaga kebersihan mulut dan jangan lupa untuk memberus gigi sesudah sahur dan berbuka.
Disarankan untuk anda menggunakan ubat gigi berfluorida. Memberus gigi akan membersihkan sekitar 60 peratus mulut anda dan oleh kerana itu, jangan lupa untuk bersihkan sisa makanan di celah-celah gigi juga.
Sisa makanan di celah gigi mampu menjadi punca bau mulut dan pastikan anda bersihkan lidah ketika memberus gigi.
2. Pantau makanan, minuman yang diambil
Ada makanan dan minuman sebenarnya mampu meningkatkan risiko anda mengalami masalah bau mulut, antaranya produk tenusu.
Elakkan minuman bersusu ketika sahur kerana ia mengandungi protein tertentu yang ketika terurai, boleh menyebabkan bau mulut.
Selain itu, jangan merokok, makan makanan yang sihat dan seimbang serta elakkan makanan pedas.
Elakkan juga minuman berkafein seperti kopi, teh, coklat dan soda terutamanya ketika sahur.
3. Gunakan ubat kumur/ cecair pencuci mulut
Penggunaan ubat kumur atau cecair pencuci mulut juga penting untuk mengelakkan mulut anda daripada berbau.
Dicadangkan kepada anda menggunakannya selepas bersahur dan berbuka untuk kesegaran berpanjangan.
Pada waktu siang ketika berpuasa pula, kurangkan penggunaannya kerana berkumur dengan kerap hukumnya adalah makruh.
4. Saranan untuk pemakai gigi palsu
Kepada anda memakai gigi palsu pula, anda sangat disarankan untuk membersihkan gigi palsu menggunakan larutan antiseptik sebelum tidur.
Usaha kecil itu sebenarnya boleh mengelakkan mulut anda berbau terutamanya ketika mula berpuasa keesokan harinya.
5. Jangan lupa minum banyak air selepas berbuka sampai sahur
Walaupun berpuasa, kita semua perlu memastikan pengambilan air yang cukup kerana tubuh memerlukan sekurang-kurangnya dua liter air sehari.
Anda boleh cuba tips yang penulis kongsikan. Jangan risau mulut berbau ketika berpuasa kerana bau mulut mereka berpuasa ibarat wangian kasturi.
Misalnya dalam hadis berikut ini jelas menunjukkan betapa bijaknya Rasulullah SAW dalam menyampaikan pengajaran. Al-Harith al-Asy’ari memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Aku memastikan kamu untuk berpuasa kerana sesungguhnya perumpamaan bagi orang berpuasa itu adalah seperti seorang lelaki yang membawa satu bekas yang terdapat kasturi di dalamnya dan dia berada di dalam satu kelompok manusia, maka mereka itu berasa amat terpesona dengan wangian tersebut, (begitu juga) sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada wangian kasturi.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, dan At-Tirmizi).
IMedikel TV






