Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Pada usia yang sepatutnya diisi dengan sesi persekolahan dan impian masa depan, Muhammad Izhan Effande, 16, dari Kampung Jakar di, sini, terpaksa membesar sebelum waktunya.
Demi memastikan dapur rumah terus berasap, remaja itu mengambil keputusan berat untuk berhenti sekolah dan bekerja bagi menyara dua adik serta neneknya, Noraini Husain, 70, yang uzur.
Muhammad Izhan adalah anak kedua dalam keluarga, berhenti sekolah ketika di Tingkatan Dua kerana kekangan kewangan.
“Selepas kematian ibu pada tahun 2018 akibat komplikasi penyakit kencing manis kronik dan darah tinggi, kami tinggal dan dijaga oleh nenek.
“Saya berhenti sekolah di usia 14 tahun kerana ingin bekerja dan membantu dua adik dan nenek,”katanya.
Katanya kini dia bekerja sebagai pembantu pengusaha penghawa dingin di Kampung Bakong dengan upah harian RM50.
“Pendapatan itulah yang digunakan untuk perbelanjaan makan minum keluarga serta membayar sewa rumah berjumlah RM200 sebulan,”katanya.
Dua lagi adiknya Nuralya, 14, dan M. Eizizul, 10, masing-masing masih bersekolah.
Abang sulung mereka, Muhammad Eizat, 19, baru sahaja menamatkan pengajian di sebuah pondok pengajian agama di Pasir Mas.

“Saya merancang untuk mula bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan pada awal tahun hadapan bagi membantu meringankan beban keluarga.
“Kami amat memerlukan sebuah motosikal bagi memudahkan urusan harian termasuk menghantar adik-adik ke sekolah dan keperluan keluarga yang lain.
“Ini disebabkan kami hanya mempunyai sebuah motosikal yang dinaiki oleh Muhammad Izhan ke tempat kerjanya, namun motosikal itu juga sudah uzur, kadang-kadang ia meragam,”katanya.
Sementara itu Koordinator The 3rd Force Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie, berkata kehidupan mereka tetap serba kekurangan disebabkan rumah sewa yang didiami dalam keadaan uzur dan mengalami kebocoran teruk setiap kali hujan.

“Berdasarkan pemerhatian saya, rumah sewa yang didiami mereka ini sudah uzur dan atap sudah bocor. Jadi memang akan basah setiap kali hujan.
“Keadaan bilik juga tidak selamat menyebabkan mereka sekeluarga hanya tidur di ruang tamu.
“Saya berharap ada orang baik di luar sana sudi membantu keluarga ini,”katanya.
Menurutnya nenek mereka Noraini menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan manakala dua adiknya yang masih bersekolah turut menerima bantuan JKM sebanyak RM200.
Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban serta memberi sinar harapan buat masa depan anak-anak ini boleh menghubungi Koordinator The 3rd Force Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie, di talian 018-271 8969.
IMedikel TV






