Home Hiburan AI MANTAPKAN DUYUNG: LEGENDA AURORA

AI MANTAPKAN DUYUNG: LEGENDA AURORA

KUALA LUMPUR: Kekangan bajet dan cabaran teknologi antara isu utama dihadapi dalam proses pembikinan filem Duyung: Legenda Aurora, iaitu naskhah sekuel kepada Duyung yang ditayangkan pada 2008.

Memetik laporan Berita Harian, bagaimanapun, pengarahnya, Prof Madya Datuk Dr A Razak Mohaideen, berkata keterbatasan dihadapi tidak mematahkan semangat pasukan produksi untuk melakukan penambahbaikan berbanding naskhah asal.

Razak berkata, aspek kewangan dalam proses pembikinan sesebuah filem sering menjadi cabaran dalam merealisasikan hasil terbaik, sambil memberi contoh mengenai perbezaan ketara dari segi peruntukan bajet antara industri perfileman tempatan dan Hollywood.

“Apabila kita bercakap mengenai filem dan industri perfileman tempatan, dari segi bajet perbezaannya dengan produksi Hollywood sangat ketara, Ibarat langit dengan bumi. Perkara ini sering kali terlepas pandang.

“Di Hollywood, mereka boleh membelanjakan ratusan juta dolar untuk menghasilkan filem, malah ada yang mencecah AS$100 juta. Sedangkan di Malaysia, kita hanya ada sebahagian kecil daripada jumlah itu. Ada kalanya kira-kira RM1 juta.

“Ini sememangnya antara kekangan utama yang dihadapi,” katanya pada sidang dan tayang perdana filem berkenaan di GSC Lalaport Bukit Bintang di sini, baru-baru ini.

Mengulas usaha penambahbaikan berbanding filem asal, Razak berkata, pihaknya mengambil serius maklum balas diterima sejak 17 tahun lalu, khususnya berkaitan aspek penceritaan dan lokasi penggambaran.

“Saya percaya rakan-rakan media faham bahawa industri kita masih dalam proses membina kekuatan. Dengan sokongan media, saya yakin industri ini mampu terus berkembang.

“Pada masa sama, kami turut meneliti kembali perjalanan cerita Duyung yang pertama, 17 tahun lalu. Ketika itu, banyak maklum balas diterima menyatakan Duyung sepatutnya memaparkan lebih banyak lokasi.

“Penonton mengharapkan pengembaraan lebih luas termasuk eksplorasi dasar laut, kawasan pantai dan lokasi lain,” katanya.

Menurut Razak, penambahbaikan itu diterjemahkan secara menyeluruh dalam pembangunan skrip dan produksi Duyung: Legenda Aurora.

“Berdasarkan respons yang diterima 17 tahun lalu, termasuk pandangan wartawan ketika itu, kami melihat aspek ini sebagai perkara penting dalam pembangunan skrip.

“Hasilnya, Duyung: Legenda Aurora menampilkan 27 lokasi berbanding hanya sembilan lokasi dalam filem pertama. Jumlah pelakon juga ditambah daripada sekitar lapan atau sembilan orang kepada 20 orang,” katanya.

Seiring perkembangan teknologi, Razak turut menjelaskan penerapan elemen teknologi moden seperti imej janaan komputer (CGI) dan kecerdasan buatan (AI) dalam beberapa babak, termasuk adegan aksi pada penghujung cerita.

“Kami berusaha menjadikan filem ini lebih berteraskan teknologi dengan memasukkan elemen CGI serta unsur teknologi lain.

“Selain CGI, ada juga penggunaan unsur AI dan beberapa babak terpaksa dirakam semula akibat masalah teknikal serta isu visual atau ‘look’.

“Semua ini antara cabaran yang perlu kami hadapi sepanjang proses pembikinan,” katanya.

Razak turut melahirkan keyakinan terhadap potensi filem Duyung: Legenda Aurora berdasarkan rekod tontonan cemerlang naskhah terdahulu, selain sambutan awal diterima untuk sekuel ini menerusi ‘teaser’ yang dimuat naik dalam media sosial.

“Saya percaya filem ini antara yang mencatat tontonan tertinggi di Malaysia. Di platform YouTube sahaja, ia merekodkan 25 juta tontonan.

“Di Netflix pula, jumlah tontonannya juga sangat tinggi. Walaupun angka tepat tidak dapat dipastikan, namun, ia berada dalam kategori antara yang paling banyak ditonton.

“Apabila ‘teaser’ dan poster dilancarkan, sambutan sangat memberangsangkan,” katanya.

Razak berkata, sambutan itu membuktikan penonton tempatan masih dahagakan karya fantasi yang menawarkan kelainan berbanding genre aksi dan sebagainya.

“Angka tontonan teaser mencecah jutaan kali menunjukkan wujudnya permintaan terhadap konsep seperti ini.

“Ada kalanya penonton tidak mahu disajikan dengan cerita pergaduhan, keganasan atau ‘gangster’ sahaja. Sesekali, mereka mahukan sesuatu yang berbeza, seperti filem fantasi,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan pelakon, Razak berkata, keserasian watak menjadi pertimbangan utama bagi memastikan penceritaan lebih meyakinkan di layar perak.

“Jika melihat Ayie Elham bersama Yasmin Hani dan Saiful Apek, kita dapat lihat persamaan dari segi fizikal, terutama saiz badan kecil yang menjadikan mereka tampak sepadan.

“Itu antara faktor yang kami pertimbangkan. Sudah tentu Ayie dipanggil untuk sesi uji bakat dan ternyata dia mempunyai kebolehan berlakon. Maka, kami gabungkan mereka sebagai satu keluarga,” katanya.

Razak berkata, sebahagian pelakon asal dikekalkan bagi memastikan kesinambungan cerita, namun, beberapa perubahan terpaksa dilakukan demi pembaharuan dan kesesuaian watak.

“Bagi pelakon lain yang pernah terbabit dalam filem asal, kami kekalkan watak masing-masing.

“Cuma kali ini, saya tidak dapat menggunakan Datuk Awie kerana tidak sesuai untuk menampilkan watak jahat yang sama selepas 17 tahun. Perlu ada perubahan dan pembaharuan,” jelasnya.

Mengulas pemilihan Anna Jobling sebagai watak utama yang memainkan watak Duyong, Razak berkata, proses saringan dibuat dengan teliti, termasuk menjalankan ujian kemahiran sebelum keputusan diambil.

“Bagi pemilihan Anna pula, saya membuat kajian terlebih dahulu dan mendapati dia adalah perenang dari Selangor. Walaupun selepas perbincangan awal, kami tidak terus mengambilnya.

“Sebaliknya, dia dibawa ke kolam renang untuk menjalani ujian terlebih sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya.

Filem Duyung: Legenda Aurora hadir dengan penceritaan baharu yang lebih moden serta diserikan dengan sentuhan visual lebih segar.

Dihasilkan KRU Studios dan 8 Bit Studio serta Primeworks Studios (PWS) sebagai rakan pemasaran rasmi, filem komedi fantasi itu mula ditayangkan di pawagam tempatan, minggu lalu.

Filem Duyung: Legenda Aurora menampilkan barisan pelakon asal iaitu Maya Karin, Saiful, Yasmin dan Yassin Yahya.

Mereka dibantu bintang baharu seperti Anna dan Ayie termasuk penampilan istimewa, Datuk Yusry Abdul Halim serta kumpulan Zero yang terdiri daripada Syaiful, Sharif dan Atu. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here