MACHANG: Sebarang pergolakan dan konflik dalaman UMNO perlu dielak dan dikurangkan sepanjang tempoh menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang berbaki dua tahun lagi.
Memetik laporan Berita Harian, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO pada semua peringkat diminta merapatkan saf dan menguatkan jentera parti bagi memenangkan kerusi yang akan dipertandingkan pada PRU16 nanti.
“Insya-Allah dengan semangat yang mahukan kemenangan dan meletakkan sasaran tertentu untuk menang, kita akan kembali dominan pada PRU16 nanti.
“Apapun saya ingatkan semua, kita jangan angkuh, jangan sombong sebagaimana sebelum ini. Jika ditakdirkan kita dominan, kita tidak akan singkir kaum dan agama lain,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perwakilan UMNO Bahagian Machang, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, rakyat kini sudah sedar dan menganggap bahawa yang terbaik tetap Barisan Nassional (BN) dan Perdana Menteri yang terbaik adalah Datuk Seri Najib Razak.
“Momentum itu perlu dikekalkan dan sekiranya ia berterusan selari dengan kerja keras pada semua peringkat, insya-Allah kita akan menang,” katanya.
Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pula, beliau berkata calon BN yang bertanding akan menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi mengelak isu lompat parti.
Asyraf Wajdi menegaskan, perkara itu sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) asas parti.
“Berhubung tandatangan SD membabitkan calon, kita mulakan di PRN Melaka sebelum PRN Johor dan diperkemaskan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Untuk PRN Sabah yang akan datang, acuan yang sama digunakan, namun diperkemaskan lagi seiring dengan keadaan semasa.
“Dokumen itu kini diperhalusi barisan peguam kita. Umumnya dokumen yang kita memeterai sebelum ini sudah mencukupi dan disebabkan itu tidak timbul isu lompat parti dalam kalangan kita selepas PRU lalu,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






