Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Lantai ruang legar Lotus’s Kota Bharu berubah menjadi kanvas warna-warni apabila 20 peserta tekun menyerlahkan kreativiti mereka, membentuk corak Rangoli yang indah dengan menyerupai pelbagai bunga, ada pula burung merak yang megah mekar di lantai.

Dengan jari berlumur serbuk warna warni, tawa kecil anak-anak dan keterujaan pengunjung yang mengambil bahagian, suasana petang itu bukan sekadar pertandingan tetapi pertemuan budaya yang jarang dilihat di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Bagi Pengurus Operasi Lotus’s Kota Bharu, Nor Afisah Ariffin, inilah kali pertama pasar raya itu menganjurkan Rangoli Making Competition, dan sambutan yang diterima mengatasi jangkaan.

“Seronok tengok ragam peserta, ramai yang pertama kali buat kolam. Kami ingin memberi peluang kepada pelanggan yang kebanyakannya Melayu merasai sendiri seni membuat kolam yang sinonim dengan masyarakat India.
“Seperti yang kita tahu di Kelantan, masyarakat India adalah kaum minoriti, jadi kami mahu pelanggan di sini merasai sendiri keindahan budaya mereka. Inilah semangat perpaduan sebenar,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Hadir sama Pengurus Pusat Membeli Belah Lotus’s Kota Bharu, Goo Sue Zhen yang juga pengacara majlis tersebut.
Pertandingan itu terbuka kepada semua pelanggan yang membuat pembelian di Lotus’s, tanpa had nilai.
Katanya pertandingan itu dinilai berdasarkan empat aspek utama iaitu kreativiti, kekemasan, realistik dan kerumitan reka bentuk.
Menariknya, dua pengadil pertandingan ialah pengunjung berbangsa India iaitu Barathi Raja dan ibunya Archi yang dipilih secara spontan oleh pihak penganjur.

“Semua hasil sangat cantik. Tetapi kami memilih pemenang berdasarkan empat ciri utama. Saya bangga tengok kaum Melayu pun boleh hasilkan kolam yang begitu cantik dan kemas,”katanya.
Antara yang mencuri tumpuan ialah Mohd Nathrullah Mohamad Nor, 37, dari Melor, yang dinobatkan sebagai pemenang utama dengan reka bentuk burung merak berwarna terang hasil ilham spontan.


“Sebenarnya saya datang membeli barang dan makan bersama isteri, Amalina Jaffar,37, dan lima anak. Kebetulan saya nampak pertandingan ini, terus rasa hendak cuba.
“Mula-mula hendak buat satu kolam satu keluarga, tetapi saya mengambil keputusan untuk mendaftar secara berasingan dengan anak-anak, biar mereka tonjolkan kreativiti sendiri. Idea burung merak tu datang apabila saya mula letak warna. Masa tu baru nampak bentuknya.
“Terima kasih kepada pihak Lotus’s Kota Bharu kerana menganjurkan pertandingan ini,” katanya.
Dari luar mungkin nampak sekadar pertandingan seni hiasan lantai, namun di sebalik warna yang bertindih itu, terserlah mesej besar bahawa seni dan budaya mampu menyatukan semua, tanpa mengira kaum atau agama.
IMedikel TV






