Home Sukan RAMSDALE PERCAYA ARSENAL LEPASI HALANGAN MENTAL

RAMSDALE PERCAYA ARSENAL LEPASI HALANGAN MENTAL

170
0

LONDON: Arsenal mendapati Manchester City terlalu kuat dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu tetapi berjaya melunaskan dendam dengan kemenangan pada Perisai Komuniti di Wembley awal pagi tadi.

Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian, City kendalian Pep Guardiola berada di ambang kemenangan menerusi gol mengagumkan sumbangan Cole Palmer namun Leandro Trossard menyamakan kedudukan pada masa kecederaan dan The Gunners memastikan kemenangan 4-1 menerusi penentuan penalti.

Gol Trossard yang terkena Manuel Akanji memaksa perlawanan ditentukan menerusi tendangan penalti dan Arsenal menang menerusi penalti Martin Odegaard, Trossard, Bukayo Saka dan Fabio Vieira.

Penjaga gol Aaron Ramsdale turut memainkan peranannya apabila menyelamatkan sepakan penalti Rodri, di samping beberapa tindakan penyelamat penting pada masa sebenar ketika The Gunners meraikan kejayaan merangkul trofi sejak memenangi trofi sama pada tahun 2020.

“Kami bekerja keras dengan sepakan penalti selama kira-kira dua tahun. Saya sering kali tidak bernasib baik sebelum ini. Kami turun dengan perancangan kami dan ia berjaya dilakukan,” katanya.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat Arsenal ke atas City dalam tempoh tiga tahun dan ia melonjakkan semangat mereka berdepan musim baharu EPL bermula awal pagi Sabtu ini.

The Gunners membuka tirai kempen EPL menentang Nottingham Forest Sabtu ini dan Ramsdale tidak sabar menanti pertembungan itu dengan penuh keyakinan.

“Saya tidak pasti sejujurnya. Mereka berada sedikit di belakang kami ketika pramusim tetapi apa yang penting buat kami adalah kami mampu turun dan mengalahkan mereka,” kata Ramsdale kepada ITV.

“Ia satu penanda aras untuk mengetahui kami boleh pergi dan mengalahkan Manchester City dalam satu perlawanan besar.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada musim baharu tetapi jelas kini kami berjaya mengikis halangan mental dan sedia untuk bersaing sepanjang musim.” – AGENSI, BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here