Home Sukan RAMOS IKUT JEJAK MESSI TINGGALKAN PSG

RAMOS IKUT JEJAK MESSI TINGGALKAN PSG

158
0

PARIS: Juara Perancis, Paris Saint-Germain mengumumkan, pertahanan veteran Sepanyol, Sergio Ramos akan mengikut jejak Lionel Messi meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini.

Ramos, 37, tiba di ibu kota Perancis itu pada tahun 2021 selepas karier gemilang bersama Real Madrid – empat kali menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sergio Ramos di atas tempoh dua tahun bersama kami.

“Kepimpinan, semangat berpasukan dan sikap profesional Sergio, digabungkan dengan pengalamannya di peringkat tertinggi, menjadikannya seorang legenda bola sepak, satu penghargaan dapat bersamanya di Paris.

“Kelab mengucapkan selamat maju jaya kepadanya,” kata presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi.

Pengumuman itu dibuat kurang 24 jam sebelum perlawanan Ligue 1 terakhir PSG musim ini menentang Clermont di laman sendiri.

Ramos mengikut jejak pemenang Piala Dunia 2022 bersama Argentina, Messi yang akan meninggalkan Parc des Princes, dan laporan mengatakan bintang Brazil, Neymar juga akan menyusul.

“Esok adalah hari yang istimewa, esok saya akan mengucapkan selamat tinggal kepada satu lagi babak dalam hidup saya, selamat tinggal @psg.

“Saya tidak tahu berapa banyak tempat seseorang boleh merasakan seperti di rumah sendiri, tanpa ragu-ragu PSG, peminatnya, dan Paris adalah salah satu daripadanya buat saya.

“Terima kasih di atas dua tahun istimewa yang membolehkan saya beraksi di setiap kejohanan dan memberikan segalanya,” kata Ramos.

Bekas pertahanan Sevilla itu memenangi gelaran Ligue 1 sebanyak dua kali di Paris, bermain 57 perlawanan dan kontraknya bersama PSG tamat pada 30 Jun ini.

44 daripada penampilannya hadir pada musim ini selepas musim pertamanya, ketika Mauricio Pochettino membimbing pasukan, dibelenggu kecederaan.

Ramos, pemenang Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol, dan Messi yang tiba pada musim panas lalu, diharapkan dapat membantu PSG memenangi gelaran Liga Juara-Juara pertama mereka, namun gergasi Perancis itu tersingkir di peringkat 16 terakhir dua kali berturut-turut.

Messi dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Miami dan kelab Arab Saudi serta kepulangan ke Barcelona.

Sumber BH Online & AFP

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here