Home Hiburan RAJA AZURA SEDIA ‘TURUN ILMU’ PENGACARAAN KEPADA PELAPIS BAHARU

RAJA AZURA SEDIA ‘TURUN ILMU’ PENGACARAAN KEPADA PELAPIS BAHARU

PETALING JAYA: “Kalau ada yang inginkan ilmu ini, datang dan bertanyalah. Insya-Allah tiada masalah, saya boleh bagi saja.”

Itu kata pelakon, pengacara dan penyanyi, Raja Azura yang menyatakan kesediaannya secara terbuka untuk berkongsi selok-belok dunia pengacaraan kepada mana-mana individu, terutamanya barisan pengacara generasi baharu.

Memetik laporan Harian Metro, bagaimanapun, Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku, 53, memberitahu bahawa sehingga kini masih belum ada mana-mana pelapis baharu yang datang bertemu dengannya untuk menimba ilmu atau bertanyakan tip mengendalikan sesebuah acara.

“Mereka mungkin tidak berani nak jumpa saya sama ada di sebarang acara pun. Namun kalau nak jumpa dan bertegur sapa di mana-mana acara, saya okey dan tiada masalah untuk mereka dapatkan ilmu. Saya bukan jenis kedekut ilmu,” katanya.

Mengulas lanjut, pengacara ini menegaskan dia sama sekali tidak mempunyai masalah untuk menurunkan segala pengalaman yang dimilikinya demi melihat industri hiburan melahirkan lebih ramai pelapis yang berkualiti. 

Malah, dia juga tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau bayaran jika ada mana-mana pihak yang mahu menuntut ilmu pengacaraan daripadanya.

“Hakikatnya, saya pun akan tinggalkan dunia ini dan akan bagi ilmu ini. Kalau ada yang inginkan, ambillah. Tiada niat pun nak meletakkan sebarang harga atau kenakan pembayaran,” katanya.

Dalam pada itu, Kak Engku bakal membuat kemunculan semula sebagai hos untuk program realiti popular, Kilauan Emas Selebriti tidak lama lagi.

Dia meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana bakatnya masih dipandang tinggi dan terus relevan untuk mengemudi program besar selepas 11 tahun meninggalkannya. 

“Saya bersyukur, ini semua rezeki, rezeki anak-anak. Saya rasa masih lagi relevan kerana selalu ikhlas, merendah diri dan menjaga kualiti dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Meskipun jumlah pengikut saya dalam media sosial tidaklah ramai tetapi mungkin kualiti itu yang dipandang. Insya-Allah saya akan menjaganya,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here