SUMATERA SELATAN: Seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan polis selepas memukul isterinya dengan kejam akibat cemburu buta kerana wanita itu sering memuat naik swafoto di Facebook.
Memetik MSNews, kejadian keganasan rumah tangga itu berlaku di rumah pasangan berkenaan di Daerah Pemulutan Selatan, Kabupaten Ogan Ilir, Indonesia, pada 30 Oktober, baru-baru ini.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, kes itu tular selepas penduduk tempatan berkongsi kisah si isteri di media sosial.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Ogan Ilir, AKP Mukhlis, keganasan itu berpunca daripada kemarahan suami terhadap tabiat isterinya yang sering memuat naik swafoto di Facebook.
“Suspek menjadi emosi kerana mangsa kerap memuat naik foto di Facebook,” katanya.
Difahamkan, mangsa, Suryani, 51, ketika kejadian sedang duduk di dalam bilik sambil memegang telefon.
Suspek, Mat Nasir, menghampirinya dan menuntut telefon itu namun mangsa enggan menyerahkannya.
Dalam pada itu, Mukhlis berkata, pertengkaran berlaku sebelum suspek merampas telefon secara paksa daripada tangan isterinya.
“Terdapat pergelutan mengenai telefon itu dan suspek memukul mangsa sehingga menyebabkan lebam serta bengkak pada wajahnya,” katanya.
Jelas beliau lagi, Suryani kemudian menjerit meminta pertolongan dan beberapa jiran yang mendengar kekecohan datang membantu.
“Mangsa dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
“Suspek juga sudah ditahan di rumahnya pada malam 1 November tanpa sebarang tentangan dan kini sedang disoal siasat,” ujarnya.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






