Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Cuaca tidak menentu ditambah hujan berterusan sepanjang musim tengkujuh di negeri ini mengakibatkan kerja peggalian kubur menjadi sukar ekoran tanah disaluti selut sehingga menyukarkan proses itu bagi si penggali kubur.
Menurut Pengerusi Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tanah, Ariffin Mat ketika ditemui pada Selasa, keadaan tanah perkuburan yang digali didapati penuh dengan air hujan malah pihaknya terpaksa menggunakan pam untuk menyedut air di dalam tanah tersebut.

“Lubang kubur kerap dipenuhi air hujan dan kita terpaksa menggunakan pam air untuk menyedut air tersebut.
“Ada kalanya kita dapati air di dalam lubang kubur itu pada paras 1 meter, selepas ianya disedut, jenazah akan dibawa turun,” katanya.
Ariffin berkata, selain daripada digenangi air hujan, pihaknya juga menghadapi cabaran dengan runtuhan tebing liang lahad dan perlu menyediakan pasir untuk menutup lubang kubur tersebut.
Menurut Hassan Basri Zakaria, 48, yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun sebagai penggali kubur, kerja penggalian kubur memakan masa yang agak lama iaitu selama empat jam berbanding dua jam sebelum ini untuk disiapkan.

“Waris si mati perlu memahami situasi liang lahad di musim tengkujuh ini yang sedikit sukar untuk dikerjakan.
“Namun kadang-kadang ada waris yang meminta untuk meletakkan si mati di kawasan kubur ahli keluarganya, sekiranya boleh kita akan lakukan, jika tidak boleh, mereka kena faham,” katanya.
Seorang lagi penggali kubur yang ditemui, Firdaus Nik Din, 17 sering melaksanakan tugasan menggali kubur apabila diminta untuk mengganti ayahnya bersama tiga lagi rakannya.
“Melihat kepada struktur tanah itu, memang agak sukar tetapi kita terpaksa timba air sehingga selesai, ”katanya.
IMedikel TV






