Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Kerajaan akan menyegerakan projek tebatan banjir di negeri Kelantan dalam usaha untuk menangani masalah banjiir yang melanda negeri ini saban tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata projek tersebut memperuntukkan kos yang tinggi namun perlu dipercepatkan.
“Kelantan sudah menetapkan beberapa projek utama dan tahun ini saya memutuskan bahawa projek tebatan banjir yang melalui beberapa fasa kerana kosnya sangat tinggi patut disegerakan kerana walapun kerajaan silih berganti, namun masalah banjir belum terkawal.
“Jadi disebabkan itu saya meminta supaya Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk melihat beberapa kaedah baharu bagi menangani isu berkenaan.
“Di negeri ini, kadang-kadang air melimpah disebabkan banjir, tetapi apabila tiba musim kemarau, air kering kontang. Allah memberikan kita kekuatan ikhtiar teknologi, jadi air yang melimpah itu boleh disimpan untuk kegunaan musim kemarau.
“Sebab itu kita berikan pendekatan baharu dan saya mengucapkan terima kasih kerana kerajaan negeri memberi kerjasama,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan,Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.
IMedikel TV






