Home Buletin Semasa PROJEK PEMBAIKAN CERUN RM10.4 JUTA DI FT185 SIAP, TINGKAT KESELAMATAN PENGGUNA JALAN...

PROJEK PEMBAIKAN CERUN RM10.4 JUTA DI FT185 SIAP, TINGKAT KESELAMATAN PENGGUNA JALAN RAYA

33
0

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia semalam menyempurnakan penyerahan Projek Pembaikan Cerun, Membina Perangkap Debris Flow dan Pembinaan Saliran di Laluan FT185 Seksyen 61, Jalan Simpang Pulai–Gua Musang, di sini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek bernilai RM10.4 juta itu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kejadian aliran puing berulang serta memperkukuh daya tahan infrastruktur jalan Persekutuan di kawasan berisiko tinggi.

“Majlis penyerahan projek berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan laluan strategik yang menghubungkan komuniti, aktiviti ekonomi, logistik dan pelancongan terus selamat, berfungsi serta memberi manfaat kepada rakyat.

“Pelaksanaan Sabo Dam di lokasi tersebut turut mencatat satu pencapaian penting apabila menjadi Sabo Dam keempat di Semenanjung Malaysia selepas pembinaannya di Raub, Pahang; Seremban, Negeri Sembilan dan Baling, Kedah,”katanya.

Katanya projek berkenaan dilaksanakan oleh Pintas Utama Sdn. Bhd. menerusi kaedah Arahan Kerja (AK), bermula pada 18 Jun 2025 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 14 Julai lalu dalam tempoh pembinaan selama 13 bulan.

“Dengan siapnya projek itu, KKR berharap tahap keselamatan, keyakinan pengguna serta kebolehlaluan di Laluan FT185 Jalan Simpang Pulai–Gua Musang akan terus dipertingkatkan demi manfaat rakyat dan pertumbuhan ekonomi setempat,”katanya.

Beliau turut menegaskan KKR dan JKR Malaysia sentiasa komited melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan cerun sebagai usaha memperkukuh kualiti infrastruktur jalan raya negara.

Katanya, komitmen itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dan iltizam JKR dalam memastikan aspek penyenggaraan cerun terus diberi perhatian bagi menjamin keselamatan serta meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here