Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan kontraktor mempercepatkan pelaksanaan Projek Penggantian Jambatan Sungai Durian di sini selepas mendapati projek berkenaan masih mengalami kelewatan meskipun sudah diberikan enam lanjutan masa (Extension of Time, EOT).
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi beliau, Alexander berkata perkara itu dikenal pasti hasil tinjauan mengejut yang dilakukannya ke tapak projek berkenaan.
“Antara isu yang dibangkitkan ialah kerja borepile yang terjejas akibat halangan paip utiliti sedia ada, selain isu berkaitan struktur sokongan sementara jambatan besi,”katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kelewatan itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana rakyat sudah terlalu lama menunggu projek berkenaan disiapkan.
“Rakyat sudah terlalu lama menunggu dan projek ini mesti disiapkan mengikut jadual semasa,”tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan kontraktor supaya mempercepatkan pelaksanaan kerja, menambah sumber di tapak pembinaan serta menyelesaikan segala isu teknikal dengan segera bersama Jabatan Kerja Raya (JKR).
Alexander turut menegaskan projek berkenaan perlu disiapkan mengikut jadual semasa demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.
“Saya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelewatan yang berpunca daripada kelemahan pelaksanaan,”tegasnya lagi.
Katanya, KKR dan JKR akan terus memantau rapi kemajuan projek itu sehingga ia siap sepenuhnya dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat.
IMedikel TV






