Home Buletin Semasa PROJEK NAIK TARAF JALAN FT209, FT131 CAPAI LEBIH 50 PERATUS, DIJANGKA SIAP...

PROJEK NAIK TARAF JALAN FT209, FT131 CAPAI LEBIH 50 PERATUS, DIJANGKA SIAP SEPTEMBER 2027

29
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Projek menaik taraf Jalan Persekutuan FT209 dan FT131 dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor ke Panchor di sini kini mencapai kemajuan melebihi 50 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2027.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek bernilai RM191 juta itu dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik yang sekian lama berlaku di laluan berkenaan dengan menaik taraf jalan dua lorong kepada empat lorong.

Menurutnya, projek sepanjang enam kilometer itu turut membabitkan pembinaan empat persimpangan utama serta sebuah jejambat bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik.

“Saya berpuas hati dengan kemajuan projek ini, namun saya memohon kerjasama kontraktor supaya dapat meningkatkan lagi prestasi pelaksanaan.

“Projek ini sudah diberikan tiga lanjutan tempoh masa (EOT) berikutan beberapa isu termasuk pengambilan tanah dan pengalihan utiliti. Justeru, pelaksanaan projek kini masih mengikut jadual baharu yang telah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat projek menaik taraf Jalan FT209 dan FT131 dari persimpangan Pasir Hor ke Panchor, di sini hari ini.

Alexander berkata, kos pengambilan tanah bagi projek itu turut melebihi RM200 juta dengan lebih 300 lot tanah terlibat.

“Laluan tersebut kini berada pada Level of Service -F, sekali gus menunjukkan kesesakan yang serius dan memerlukan tindakan segera.

“Apabila siap nanti, pengguna jalan raya akan menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa,” katanya.

Mengulas isu banjir di lokasi lawatan, beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah mengarahkan kontraktor membina parit sementara bagi mengatasi masalah itu sementara menunggu projek siap sepenuhnya.

Katanya, kerja berkenaan tidak membabitkan kos yang besar dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan lain, Alexander berkata kementerian terus memantau rapi semua projek sakit di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara.

Menurutnya, daripada 865 projek JKR di seluruh Malaysia, hanya 50 projek atau 5.7 peratus dikategorikan sebagai projek sakit.

Bagi Kelantan pula, katanya, daripada 104 projek JKR yang sedang dilaksanakan, hanya tujuh projek atau 6.7 peratus dikenal pasti sebagai projek sakit.

Beliau berkata, setiap projek dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada menamatkan kontrak atau memberikan lanjutan tempoh masa bagi mengelakkan implikasi undang-undang serta peningkatan kos kepada kerajaan.

“Kebanyakan projek sakit berpunca daripada masalah kewangan dan kelemahan pengurusan syarikat kontraktor. Bagaimanapun, terdapat juga projek yang mengalami kelewatan.

“Ini disebabkan faktor di luar kawalan seperti kesukaran proses pengambilan tanah, pengalihan utiliti serta penemuan halangan di tapak projek yang memerlukan tindakan penyelesaian sebelum kerja dapat diteruskan,”katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here