Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka terus mempergiat penguatkuasaan menerusi Ops Perang Lebih Muatan dan Ops Gempur Teknikal di lebuh raya serta beberapa laluan utama di negeri ini bagi membanteras kesalahan membabitkan kenderaan perdagangan.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi JPJ Negeri Melaka, operasi kira-kira jam 12.00 tengah malam tadi itu memberi tumpuan kepada kenderaan perdagangan yang disyaki membawa muatan melebihi had dibenarkan selain mempunyai ketidakpatuhan teknikal yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan melibatkan aspek muatan, sistem brek, tayar, lampu, struktur kenderaan, dokumen pemanduan serta pematuhan terhadap syarat lesen dan permit.
“JPJ Negeri Melaka menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik syarikat atau pemandu yang mengabaikan undang-undang demi mengejar keuntungan sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya,”menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
“Operasi penguatkuasaan di lebuh raya dan jalan-jalan utama akan diteruskan secara berkala tanpa mengira waktu dan lokasi bagi memastikan tahap pematuhan terhadap peraturan jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik,”jelas kenyataan itu.
JPJ turut mengingatkan semua pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum berada di jalan raya.
IMedikel TV






