Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mempunyai bidang tugas serta kawasan operasi berbeza dalam memastikan keselamatan perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, APMM mempunyai bidang kuasa sehingga 200 batu nautika meliputi Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), manakala PPM lebih memberi tumpuan kepada kawasan perairan yang lebih hampir dengan pantai.
Katanya, perbezaan itu turut mengambil kira kemahiran, aset dan keperluan operasi setiap pasukan.
“Pasukan APMM dengan kemudahan helikopter dan ‘mother ship’ berbanding Pasukan Polis Marin dengan bot rondaan pantas, jadi fungsinya berbeza.
“Daerah tanggungjawabnya sudah diklasifikasikan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek PPM Wilayah Tiga, Tok Bali, di sini.
Menurutnya, pembahagian tugas itu membolehkan setiap agensi menjalankan tanggungjawab berdasarkan kepakaran dan keupayaan aset masing-masing.
Sebagai contoh, katanya, sekiranya berlaku insiden melibatkan kapal dengan kapal, tindakan penguatkuasaan akan dikendalikan APMM berdasarkan bidang tugasnya.
Beliau berkata, PPM pula mempunyai kemahiran dan ketangkasan tersendiri khususnya dalam melaksanakan tugas rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan perairan yang menjadi tanggungjawabnya.
IMedikel TV






