Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mahu isu berkaitan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand diurus berdasarkan sentimen dan emosi, sebaliknya melalui mekanisme kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia mempunyai beberapa saluran kerjasama termasuk Government-to-Government (G2G), Border Working Group (BWG) serta hubungan Police-to-Police (P2P) bagi membincangkan isu keselamatan sempadan.
Beliau berkata, BWG menjadi platform rasmi untuk kedua-dua negara membincangkan secara terbuka pelbagai isu berkaitan sempadan, manakala kerjasama P2P boleh dilaksanakan pada bila-bila masa mengikut keperluan.
“Urusan menguruskan hubungan bernegara ini tidak boleh berdasarkan kepada sentimen dan emosi. Kita ada tanggungjawab besar kepada rakyat,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek PPM Wilayah Tiga, Tok Bali, di sini.
Mengulas dakwaan berkaitan kegiatan pembuatan bom yang dikaitkan dengan elemen dari Malaysia, beliau berkata perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Katanya, Malaysia dan Thailand mempunyai mekanisme keselamatan yang membolehkan sebarang perkara berbangkit dibincangkan antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara.
Beliau turut menegaskan keutamaan KDN adalah memastikan keselamatan sempadan negara daripada semua bentuk ancaman termasuk penyusupan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
“KDN mengambil pendekatan bahawa kita akan melihat keselamatan ini secara menyeluruh dan tidak melihatnya secara terpisah hanya kerana satu atau dua insiden yang berlaku,” katanya.
IMedikel TV






