LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou memberitahu Bayern Munich mereka diberi tempoh terakhir sekali sahaja dalam usaha untuk mengikat kapten England, Harry Kane.
Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian, Penyerang utama Spurs itu meledak empat gol ketika menang besar 5-1 ke atas Shakhtar Donetsk pada aksi persahabatan pramusim di laman sendiri malam tadi.
Kane memasuki 12 bulan terakhir daripada kontrak enam tahun di Spurs dan cuba diikat secara agresif oleh Bayern, ketika kelab gergasi Jerman itu dilapor melakukan bidaan terbaharu mereka terhadap penyerang itu Jumaat lalu.
Namun Spurs bertegas setakat ini pada jendela perpindahan musim panas dengan pemain berusia 30 tahun itu kelihatan tidak terjejas ketika merakam hatrik pada minit ke-55 menentang Shakhtar pada perlawanan sulung bos baharu Postecoglou di Stadium Tottenham Hotspur.

Postecoglou bagaimanapun berkata hanya satu tarikh diambil kira apabila memperkatakan mengenai kemelut perpindahan Kane.
“Kami tahu hanya ada satu tarikh akhir dan ia pada hujung pasaran perpindahan,” katanya.
“Selain itu, saya terbuka untuk berbincang dengan Harry dan bersama kelab secara kerap. Saya menyatakan kepada mereka jika status quo berubah, maka maklumkan kepada saya… saya sedang membentuk pasukan di sini,” katanya.
Bekas pengurus Celtic itu menambah: “Anda lihat hari ini Harry jelas melabur dengan apa yang kami lakukan dan kami akan terus melakukannya kecuali sesuatu berubah.”
Bayern tidak menyembunyikan hasrat mereka memburu Kane, dengan Postecoglou menegaskan: “Saya pastinya tidak mahu bercakap mengenai pemain kontrak di kelab lain tetapi saya tidak berada di Bayern jadi mereka boleh lakukan apa yang mereka mahu.”
Postecoglou disambut meriah penyokong setia Spurs dan stadium menjadi lebih gegak-gempita apabila diumumkan Kane turun sebagai kapten kelab utara London itu susulan ketiadaan Hugo Lloris.
Kane, penjaring gol terbanyak Tottenham sepanjang zaman, membuka tirai jaringan menerusi penalti pada minit ke-38 sebelum menambah tiga gol lagi pada minit ke-50, 55 dan 79. Penggantinya Dane Scarlett menyumbat gol kelima pada masa kecederaan. – AGENSI, BH Online –
Imedikel TV






