Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV
TUMPAT- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 10 tan beras putih import serta menahan tiga lelaki tempatan dalam satu operasi di Kampung Lundang Paku, Ketereh, Kota Bharu pada pagi semalam.
Komander PPM Wilayah Tiga, ACP Mohd Khairuddin Jamal@Zainan berkata rampasan itu dilakukan menerusi Op Taring Landai/Op Taring Kontraband hasil risikan dan maklumat awam yang dijalankan selama kira-kira sebulan.
Beliau berkata, pasukan Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor mengesan sebuah kenderaan motolori berwarna hijau dalam keadaan mencurigakan di Bulatan Pasir Pekan, Wakaf Bahru kira-kira pukul 7 pagi.
Menurutnya, pasukan kemudian mengekori kenderaan tersebut sejauh kira-kira 15 kilometer selama 20 minit sebelum berjaya memintas dan menahannya di bahu jalan Kampung Lundang Paku pada 7.20 pagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 10 beg jumbo beras putih import, setiap satu seberat kira-kira 1,000 kilogram, yang dipercayai baru dimuat naik dan disyaki diseludup masuk dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairuddin berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 39 tahun yang berada dalam kenderaan tersebut berjaya ditahan bagi membantu siasatan.
Jelasnya, semakan lanjut mendapati dua daripada tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes penyalahgunaan dadah.
“Siasatan awal mendapati beras putih import itu dipercayai hendak dihantar ke sebuah stor pemborong sebelum diedarkan kepada peruncit,” katanya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan dirujuk kepada Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM290,000, melibatkan kira-kira RM40,000 beras putih import serta kenderaan yang dianggarkan bernilai RM250,000, menjadikannya kes keempat melibatkan kesalahan beras putih import direkodkan PPM Wilayah Tiga bagi suku pertama tahun ini.
Katanya, PPM Wilayah Tiga akan terus komited membanteras jenayah rentas sempadan dan mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan tersebut melalui Bilik Gerakan Markas PPM Wilayah Tiga di talian 09-5137726.
IMedikel TV






