Ipoh, PERAK: Polis sedang mengesan lelaki yang dikatakan meraba seorang wanita ketika berada di tempat duduk belakang sebuah bas ekspres berhampiran hentian rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa di Gerik, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, laporan diterima daripada mangsa berusia 22 tahun jam 3.11 petang kelmarin mendakwa dia diraba seorang lelaki berumur 20-an.
Katanya, sewaktu kejadian, bas itu dalam perjalanan dari Seri Iskandar, Perak menghala ke Tanah Merah, Kelantan manakala ketika itu mangsa sedang tidur ketika di kerusi tempat duduknya.
“Kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur. Selepas menyedari dirinya diraba, mangsa membuat laporan di Balai Polis Banggol Judah di Kelantan dengan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika bas ekspres itu berada dekat dengan RnR Titiwangsa di Gerik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di talian 05-7912222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Sumber HMetro Online
Imedikel TV






