Home Hiburan PM NEW ZEALAND KUNJUNGI KHAIRUL AMING

PM NEW ZEALAND KUNJUNGI KHAIRUL AMING

153
0

KUALA LUMPUR: “Lapan tahun lalu, saya merakam video memasak pertama sambil duduk di atas lantai. Hari ini, saya mendapat keistimewaan untuk duduk di sebelah Perdana Menteri sebuah negara yang terkenal,” kata pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming apabila dikunjungi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon di sebuah restoran di ibu kota, hari ini.

Khairul atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 32, berkata, pertemuan itu sebagai tanda penghargaan daripada pihak New Zealand untuk video percutian sambil memasak yang dihasilkannya di negara berkenaan.

“Saya mengambil kesempatan untuk memperkenalkan sarapan Malaysia sambil bertukar pendapat mengenai pelancongan antara Malaysia dan New Zealand, perdagangan eksport daging, tenusu halal, pemeliharaan alam semula jadi dan potensi eksport produk perusahaan kecil sederhana tempatan ke New Zealand,” katanya.

Pada pertemuan itu juga, kedua pihak turut mengadakan perbincangan mengenai pertukaran pelancongan antara Malaysia dan New Zealand.

Pada masa sama, Khairul berkata, pertemuan itu dapat direalisasikan selepas membuat persiapan rapi dengan kedutaan New Zealand yang akhirnya membolehkan mereka bertemu hari ini.

Sementara itu, menerusi video sama, Khairul sempat beramah mesra sambil menyediakan juadah sarapan tradisional Malaysia bersama Luxon.

“Untuk permulaan KA (Khairul Aming) jemput Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon untuk sesi bergambar dulu, kemudian pergi ke sesi memasak.

“Hari ini, kita sediakan menu sarapan tradisional Malaysia, roti jala dan teh tarik. Selepas itu, sediakan cendol. Saya tahu cendol bukan makanan untuk sarapan, tapi bagi pencuci mulut.

“Pada masa sama, saya perkenalkan kuih tradisional Malaysia termasuk produk Dendeng Nyet dan Sambal Nyet Berapi. Kemudian, iringi masuk ke dalam dan makan nasi lemak.

“Sepanjang sesi itu, kita ada bincang mengenai pertukaran pelancongan antara Malaysia dan New Zealand,” katanya.

Khairul yang sudah terbabit dalam bidang penyediaan kandungan dalam media sosial selama sembilan tahun berkata, dia bersyukur apabila pertemuan itu berjalan lancar.

“Alhamdulillah, pertemuan berjalan dengan lancar dan video masak yang dibuat di New Zealand diterima baik kerajaan New Zealand.

“Siapa sangka dulu buat video masak atas lantai dekat rumah sewa, hari ini dapat duduk bersebelahan Perdana Menteri terkenal dunia,” katanya.

Terdahulu, Khairul mengumumkan dirinya tampil dengan siri memasak baharu yang dijalankan di New Zealand sebanyak sembilan episod.

Menurutnya, ia adalah untuk mengejar minatnya sambil mengembara ke luar negara. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here