Home Buletin Semasa SATU KEMATIAN AKIBAT KOMPLIKASI DEMAM DENGGI DILAPORKAN PADA ME 34

SATU KEMATIAN AKIBAT KOMPLIKASI DEMAM DENGGI DILAPORKAN PADA ME 34

167
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kes demam denggi dilaporkan menurun kepada 1,980 kes berbanding 2,294 kes pada Minggu Epidemiologi ke-34 (ME 34) dengan satu kes kematian akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam suatu kenyataan, berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 34 adalah sebanyak 94,807 kes berbanding 78,277 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

“Terdapat 84 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 55 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

“Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-34 adalah sebanyak 85 lokaliti berbanding 91 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

“Dari 85 lokaliti yang dilaporkan, 68 lokaliti di Selangor, empat lokaliti di Negeri Sembilan, empat lokaliti di Kelantan, tiga lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, tiga lokaliti di Perak, dua lokaliti di Sabah dan satu lokaliti di Kedah,”katanya dalam suatu kenyataan.

Beliau berkata bagi survelan chikungunya, dua kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-34. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 68 kes.

“Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke- 34. Bagi survelan zika, sebanyak 1,781 sampel darah, lapan sampel urin serta tiga  sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan keputusannya adalah negatif.

“Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” adalah tema Hari Kebangsaan ke-67 yang melambangkan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati diri.

“Kesedaran dan tindakan kolektif dalam mengatasi masalah denggi merupakan manifestasi jiwa merdeka, yang mana rakyat mengambil tanggungjawab untuk menjaga kesihatan dan kebersihan persekitaran mereka agar dapat membebaskan diri daripada ancaman jangkitan demam denggi,”katanya.

Tambahnya ini termasuk usaha dalam memupuk semangat kerjasama antara penduduk untuk membersihkan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk serta mendorong masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan yang berkesan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here