Home Buletin Semasa PINDAAN KEPADA AKTA PERUBATAN KUKUHKAN TADBIR URUS KEPAKARAN PERUBATAN DAN PENDAFTARAN LATIHAN...

PINDAAN KEPADA AKTA PERUBATAN KUKUHKAN TADBIR URUS KEPAKARAN PERUBATAN DAN PENDAFTARAN LATIHAN PERUBATAN

303
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan  menyambut baik pindaan terhadap Akta Perubatan 1971 [Akta 50] yang diluluskan oleh Dewan Negara, semalam.

Beliau yang juga Presiden Majlis Perubatan Malaysia dalam kenyataan media, berkata pindaan kepada Akta Perubatan adalah langkah penting untuk membetulkan ketidakaturan serta menyelesaikan kekeliran yang timbul daripada Pindaan 2012 kepada Akta Perubatan 1971, dan seterusnya meningkatkan tadbir urus latihan kepakaran perubatan dan pendaftaran pakar.

“Pengenalan peruntukan baru, mekanisme pengawasan, dan Jadual ke-4 dan ke-5 adalah langkah-langkah untuk mewujudkan kejernihan bagi memastikan ketelusan dan tanggungjawab yang lebih besar dalam profesion perubatan.

“Peranan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sebagai badan yang diberi kuasa untuk memantau tanggungjawab ini telah diperjelaskan lagi melalui pindaan ini, mencerminkan kepercayaan kerajaan terhadap MMC sebagai badan kawal selia,”katanya dalam kenyataan.

Menurutnya pindaan tersebut memberi gambaran jelas mengenai keperluan yang perlu dipenuhi oleh pemohon untuk dimasukkan ke dalam Daftar Pakar, dan kemasukan pengalaman kerja pasca kelayakan (PQWE) serta kompetensi dalam Seksyen 14B Akta ini mencerminkan komitmen Kementerian Kesihatan untuk mengekalkan piawaian tertinggi dalam latihan dan perkhidmatan kepakaran.

“Pindaan ini diharapkan akan menghasilkan natijah penjagaan keshatan yang lebih baik dan meningkatkan kualiti latihan untuk profesional perubatan, yang akhirnya akan lebih menjamin keselamatan pesakit.


“Dengan pindaan ini, saya amat berharap agar profesion perubatan akan bergerak maju bersama-sama ke arah membina lembaran baharu bagi profesion ini di Malaysia, di mana semua pihak bekerjasama untuk memenuhi keperluan mendesak untuk pakar di negara ini tanpa menjejaskan kualiti.

“Saya juga ingin menegaskan hasrat saya agar pakar-pakar baru yang dimasukkan ke dalam Daftar Pakar akan berusaha untuk menggunakan kemahiran dan kepakaran mereka dalam berkhidmat kepada negara, khususnya kepada golongan kurang bernasib baik,”katanya.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here