BANGKOK: Pasukan Renjer Thailand menemui sejumlah besar ganja kering dalam 620 guni dan bungkusan yang disembunyikan di kawasan kebun durian serta kelapa di wilayah Bueng Kan.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, pihak berkuasa percaya pemilik ganja itu meninggalkannya lebih awal sebagai langkah mengelak tindakan, susulan pelaksanaan peraturan baharu yang lebih ketat oleh Kementerian Kesihatan Awam Thailand pada 26 Jun lalu.
Komander Kompeni Renjer ke-2108 di bawah Pasukan Petugas Renjer ke-21, Leftenan Kowit Wongsaeng, berkata maklumat diterima daripada pihak tidak dikenali.
mereka melaporkan mengenai bahan menyerupai ganja yang disorokkan di sebuah kebun durian di Ban Tha Si Khai, Daerah Bueng Khong Long.
Bertindak atas maklumat itu, beliau mengetuai operasi bersama membabitkan pegawai tempatan, polis dan pemimpin masyarakat untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh.
Di lokasi pertama iaitu kebun durian di utara Ban Tha Si Khai, pasukan itu menemui 85 guni kain berisi ganja kering yang diletakkan di kawasan berkenaan.
Pemeriksaan susulan di lokasi kedua, sebuah kebun kelapa di selatan kampung itu, menemukan 510 lagi guni ganja kering yang dibungkus plastik, bersama 25 bungkusan batang ganja kering.
Tiada individu ditemui di kedua-dua lokasi untuk diambil keterangan berhubung pemilikan dadah berkenaan.
Kesemua 620 guni dan bungkusan ganja kering yang dirampas diserahkan kepada Balai Polis Lao Luang untuk tindakan undang-undang dan siasatan lanjut bagi mengesan sumber asal dadah terbabit.
Dalam pada itu, Ketua Daerah Bueng Khong Long, Tawee Chinnarong, berkata ganja berkenaan dipercayai dibuang oleh pemiliknya susulan pengumuman terbaharu Kementerian Kesihatan Awam Thailand.
Peraturan baharu yang berkuat kuasa mulai 26 Jun itu secara khusus mengawal penggunaan bahan berkaitan ganja, dihadkan untuk tujuan perubatan sahaja selain mewajibkan lesen untuk penjualan dan sijil perubatan bagi pembelian.
Beliau berpendapat individu yang memiliki ganja itu berkemungkinan bimbang berdepan tindakan undang-undang di bawah arahan baharu itu. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






