Home Buletin Semasa PEMANDU, PENUMPANG BAS EKPRESS DAN PERSIARAN DIWAJIBKAN PAKAI TALI PINGGANG KELEDAR BERMULA...

PEMANDU, PENUMPANG BAS EKPRESS DAN PERSIARAN DIWAJIBKAN PAKAI TALI PINGGANG KELEDAR BERMULA 1 JULAI INI

328
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pemakaian tali pinggang keledar diwajibkan kepada semua pemandu dan penumpang bas ekpress serta persiaran berkuatkuasa 1 Julai ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata penguatkuasaan itu sebagai usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

“Penguatkuasaan terhadap pemakaian tali pinggang keledar kepada semua bas ekpress dan persiaran akan berkuatkuasa mulai 1 Julai ini.

“Kaedah penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar adalah termasuk bas ekpress dan persiaran, penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar terhadap pemandu dan penumpang kedua-dua bas,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Setia JPJ Malaysia, di sini, hari ini.

Tegasnya, sebelum ini pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tidak dikuatkuasakan tetapi selepas ini, pihak JPJ akan mengambil tindakan kepada mereka yang ingkar.

“Kita akan mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk kepada penumpang bas ekpress dan persiaran.

“Pelaksanaan ini akan membabitkan bas yang dibina pada atau selepas 1 Januari 2020. Pemandu dan penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar ketika dalam perjalanan akan dikenakan notis saman,”katanya.

Bagaimanapun menurut beliau bas yang dibina sebelum tahun 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali pinggang keledar.

Beliau berkata pemandu bas perlu memastikan penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum kenderaan mula bergerak.

“Pihak syarikat perlu mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk memastikan pemandu sudah memberi peringatan kepada penumpang berkenaan pemakaian tali pinggang keledar.

“Kami juga akan mengeluarkan garis panduan kepada syarikat pengendali bas dan akan mengambil tindakan kepada pengendali syarikat yang gagal memastikan keselamatan penumpang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Sekiranya didapati penumpang tidak memakai tali pinggang keledar, bukan sahaja penumpang disaman malah pemandu dan syarikat pengendali turut disaman,”katanya.

Menurut beliau mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa sekiranya terdapat penumpang yang ingkar arahan, pemandu perlu membuktikan bahawa mereka sudah memaklumkan kepada penumpang mengenai pemakaian tali pinggang keledar sebelum bas bergerak dan saman hanya akan dikenakan kepada penumpang terbabit.

Sekiranya pemandu sudah memaklumkan kepada penumpang, mereka perlu buktikan hal tersebut kerana kebanyakan bas mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here