Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA KRAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 11 warga asing dipercayai bekerja di kawasan perlombongan bijih besi di Kampung Pahi, di sini, pada Rabu.
Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan dan serbuan yang dilakukan Batalion 8 pada jam 1.30 petang itu menerusi OP Taring Wawasan.
“Semua tahanan warga asing itu membabitkan tujuh lelaki Bangladesh, tiga lelaki Nepal dan seorang lelaki Indonesia sedang bekerja di lombong tersebut.
“Seorang daripada mereka tidak memiliki permit kerja manakala empat lagi mempunyai permit kerja yang telah tamat tempoh serta enam yang lain gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Katanya, mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya.
IMedikel TV






