Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan satu cubaan menyeludup haiwan ternakan apabila menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Batu Gajah, pada Isnin.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, tangkapan dibuat pada jam 2.41 pagi dalam operasi khas Op Taring Wawasan yang dijalankan di kawasan sempadan ini.
“Hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan menemukan 162 ekor kambing yang dipercayai diseludup dari Thailand tanpa sebarang dokumen sah.
“Pemandunya, seorang lelaki berumur 32 tahun, dipercayai dalam perjalanan menghantar kambing-kambing itu ke pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata jumlah keseluruhan rampasan termasuk haiwan dan kenderaan dianggarkan bernilai RM321,000. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Katanya suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.
PGA menegaskan komitmen mereka untuk terus mempertingkat kawalan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya di kawasan sempadan negara.
IMedikel TV






