Home Buletin Semasa LEBIH 17 UJIAN KLINIKAL HASIL KAJIAN MADU KELULUT

LEBIH 17 UJIAN KLINIKAL HASIL KAJIAN MADU KELULUT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian membantu penternak madu kelulut dalam membangunkan industri kelulut melalui penyelidikan madu tersebut. 

Pensyarah Kanan, Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, Dr Mohd Zulkifli Mustafa, berkata setakat ini terdapat lebih 17 ujian klinikal dalam hasil kajian madu kelulut.

“Salah satunya kajian dalam kesan anti depresi, kajian untuk strok, resdung menggunakan produk daripada kelulut.

“Masyarakat sangat sinonim dengan madu lebah, madu tualang atau spesis lebah yang menyengat tetapi madu kelulut belum mendapat liputan yang meluas.

“Jadi peranan universiti untuk menjalankan penyelidikan dan mengetengahkan potensi kesihatan yang boleh didapati melalui madu kelulut,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media pada Sambutan Hari Lebah Sedunia 2025, di sini, hari ini.

Beliau berkata pihak universiti memainkan peranan bagi penghasilan madu kelulut melalui beberapa proses termasuk pemurnian mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya pihak USM Kampus Kesihatan bekerjasama dengan Persatuan Usahawan Lebah Kelulut Darul Naim (Droness).

“Di bawah Droness terdapat kira-kira 165 penternak yang mana mereka mempunyai sebanyak 5,500 sarang dan menghasilkan jumlah madu yang besar di Kelantan sahaja sejak 2012,”katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Zulkifli berkata persepsi masyarakat terhadap penghasilan madu kelulut di pasaran daripada bahan campuran perlu ditepis.

“Cabaran daripada industri madu kelulut adalah persepsi pengguna bahawa madu yang berada di pasaran kebanyakan adalah tiruan, sintetik atau dicampur.

“Jadi di universiti kami membantu menyediakan SOP kepada penternak malah kita sudah melatih 4,000 penternak di seluruh negara sejak 2017 untuk menghasilkan kelulut.

“Jadi untuk mengatasi perspektif ini kita menggalakkan pengguna madu untuk membeli terus daripada penternak.

“Secara tidak langsung mereka akan lebih yakin tentang keaslian dan kualiti madu tersebut,”katanya.

Menurut Dr Mohd Zulkifli sebagai penyelidik beliau mengiktiraf kebaikan dan kehebatan produk madu kelulut kerana ia berpotensi untuk diketengahkan sebagai komoditi baharu untuk negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here