Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), komited untuk memperkukuh pelaksanaan Dasar Air Negara sebagai pemacu kepada transformasi sektor air negara, bagi memastikan bekalan air yang selamat, berdaya maju dan lestari kepada rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata usaha itu bukan sahaja memperkukuh keterjaminan sumber air negara, malah turut mendorong Malaysia ke arah menjadi hab air dinamik yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi, membuka peluang pekerjaan baharu serta memudahcara penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan pengkomersialan dalam sektor air.

“Dalam konteks ini, JPS memainkan peranan penting dalam memperkasa kerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan ke arah pengurusan air yang bersepadu.
“Transformasi sektor air ke arah pengurusan air yang lebih cekap memerlukan sistem maklumat berintegrasi bagi melindungi keselamatan air dan kemampanan ekosistem demi masa depan yang lebih baik,”katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap di Majlis Persidangan Pengurus Kanan dan Jentera Daerah JPS Tahun 2025, di sini, pada Rabu.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pengurusan sumber air yang cekap dan mampan kekal sebagai antara fokus utama dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13) memandangkan isu keterjaminan bekalan air bersih dan perubahan taburan hujan akibat perubahan iklim semakin meruncing.
“Di bawah Teras A7: Pengukuhan Mitigasi dan Adaptasi Banjir, Kerajaan memberi penekanan kepada pelaksanaan strategi yang lebih menyeluruh, bersepadu dan inovatif bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap bencana banjir yang kian kompleks 7 dan berimpak tinggi,”katanya.
Beliau berkata PETRA amat mengharapkan JPS terus menjadi peneraju dalam memastikan pengurusan sumber air di Malaysia dilaksanakan secara bersepadu, mampan dan berdaya tahan.
“JPS juga diharap terus memperkasa peranan sebagai pemudah cara dasar air negara di peringkat negeri dan daerah, agar tiada lagi jurang dalam perancangan dan pelaksanaan projek berkaitan air.
“Dalam masa yang sama, PETRA ingin melihat JPS terus melangkah ke hadapan sebagai organisasi berprestasi tinggi yang menjunjung nilai integriti, profesionalisme dan keberkesanan penyampaian,”katanya.
IMedikel TV






