Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Langit cerah di Pantai Irama, Bachok, di sini, bertukar menjadi warna-warni apabila mencipta panorama yang mengagumkan dengan deretan layang-layang gergasi dari pelbagai negara.
Bukan sekadar pesta, acara yang menjadi tumpuan saban tahun kali ini lebih luar biasa dengan kehadiran peserta dari enam negara termasuk Amerika Syarikat, China, Thailand, Singapura dan Indonesia, selain penyertaan dari pemain tempatan.
Tinjauan kru IMedikel TV bukan sahaja mendapati ribuan pengunjung membanjiri Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2025 malah pantai itu dipenuhi dengan pelbagai jenis wau dan layang-layang aksi daripada stunt kite hingga sport kite yang terbang dalam formasi memukau.
Kesemuanya diterbangkan dengan kemahiran daripada pemain layang-layang professional dari dalam dan luar negara.
Menurut seorang pemain Persatuan Kelab Layang Negeri Sabah, Mohd Nazri Mj, 40, ketika ditemui kru IMedikel TV, keadaan angin ketika itu sangat bersesuaian untuk menaikkan layang-layang seperti stunt kite standard, ultra dan triple miliknya.

Katanya, stunt kite adalah layang-layang aksi atau akrobatik yang boleh dikawal dengan membuat pelbagai aksi di udara seperti pusing atau terbang zig-zag.
“Kali ini kami bawakan persembahan lebih kepada stunt kite dan sport kite, dan triple kite tetapi esok nak main yang jenis kembar dari USA, semua yang bawa jenis USA dan Taiwan.
“Sebelum ini kita bawa layang-layang biasa sahaja dan berkonsepkan macam orang awam guna,” katanya ketika ditemui di Pesta Wau Antarabangsa 2025 di Pantai Irama, di sini, pada Khamis.
Namun di sebalik kemeriahan, ada sisi kebimbangan yang diluahkan pemain lama.
Pengurus Kelab Wau Batu Buruk, Mohd Hasniza Hamzah, 48, permainan tradisional wau kini semakin kurang mendapat tempat terutama dalam kalangan generasi muda.

“Kebanyakan yang masih aktif bermain wau terdiri daripada golongan orang lama, manakala generasi baharu lebih cenderung kepada penggunaan gajet.
“Ini menyebabkan tiada pelapis pada masa kini untuk meneruskan warisan permainan tradisional ini,” katanya.
Meskipun begitu, sambutan hangat daripada orang awam membuktikan minat terhadap permainan tradisional ini masih belum terpadam.
Mohd Fathil Noor Alba Yusoff, 33, yang datang bersama keluarganya dari Beris Kubur Besar, mengakui dia tidak pernah ketinggalan menghadiri pesta tersebut setiap kali dianjurkan.

“Saya ternampak iklan di TikTok terus ajak keluarga datang. Anak-anak pun seronok tengok wau besar-besar,” katanya.
Pesta Wau Antarabangsa 2025 bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga pentas budaya dan warisan yang menyatukan komuniti dari seluruh dunia dalam suasana penuh warna dan nostalgia.
IMedikel






